Enggan jadi ungkitan, soal zuriat bincang sebelum kahwin

KUALA LUMPUR: Tak terhitung pengorbanan dilakukan suami, Nazmir Abd Rahim, 36, terhadap pelakon popular, Jasmin Hamid, 49.

Barangkali, ada berpendapat tentulah segala-galanya masih manis, mekar dan mewangi apabila bahtera rumah tangga yang baru setahun dibina.

Namun, hakikatnya ramai tidak sedar, Jasmin dan Nazmir sudah lebih sedekad saling mengenali, biarpun baru lapan bulan bergelar suami isteri. Nazmir bergelar pembantu peribadi Jasmin, sebelum sepakat mendirikan mahligai rumah tangga pada November tahun lalu.

Di sebalik itu, baru hendak mengecap nikmat pasangan baru berkahwin, rumah tangga diuji apabila Jasmin mengalami serangan jantung sehingga dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, baru-baru ini.

Suami bukan sahaja setia menemani, malah, kini, turut menjadi bergelar ‘jururawat peribadi’ kerana perlu mengambil tekanan darah isteri setiap kali sebelum memasuki set penggambaran demi memastikan Jasmin mengambil ubat tepat pada waktunya.

“Kalau hendak huraikan kisah pengorbanan suami, sejujurnya, sudah lama Nazmir berkorban untuk saya.

“Nazmir sudah lama berada di sisi kerana dia adalah pembantu peribadi saya. Namun, hubungan ketika itu tidak lebih atas dasar kerja. Rasa cinta pula hanya dipupuk selepas berkahwin.

“Sepanjang hampir 10 tahun bekerja dengan saya, Nazmir seorang yang tidak berkira sama ada kudrat mahupun wang ringgit,” katanya kepada BH Online.

Pelakon 7 Hari Mencintaiku itu berkata, terbit rasa bersalah tatkala menempuh ujian dengan kesakitan pada bulan lalu.

Jasmin berkata, dia pernah bertanya kepada suami tidakkah menyesal mengahwini isteri yang berusia sepertinya?

“Saya pernah bertanya, tidakkah menyesal memperisterikan saya? Dahulu sebelum berkahwin, saya sihat. Tetapi, selepas beberapa bulan berkahwin, saya diuji dengan kesakitan.

“Namun, saya terharu apabila suami menegaskan tidak pernah sesekali menyesal takdir yang tertulis. Baginya, isteri tua atau muda, semuanya adalah kiriman Allah.

“Sebagai manusia, siapa nak minta kesakitan? Semua adalah ketentuan Allah.

“Lagipun, Nazmir beritahu, tidak semestinya orang muda lebih kuat. Dan tidak semestinya, orang tua akan pergi dahulu, jadi, semuanya Allah yang aturkan,” katanya.

Jasmin menyifatkan dirinya bertuah memiliki suami tidak berkira soal kudrat mahupun wang ringgit. - Foto IG Jasmin Hamid
Jasmin menyifatkan dirinya bertuah memiliki suami tidak berkira soal kudrat mahupun wang ringgit. – Foto IG Jasmin Hamid

Sedar jarak umur jauh berbeza, Jasmin berkata, sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan pembantu peribadi, mereka sudah duduk berbincang pelbagai perkara termasuk soal zuriat.

Malah, katanya, perkara soal itu turut dibincang bersama keluarga mentua kerana tidak mahu soal zuriat menjadi isu pada kemudian hari.

“Sebelum berkahwin, kami sudah berbincang terutama soal zuriat. Saya perlu berterus-terang kerana saya bukannya muda. Saya tidak mahu soal zuriat menjadi ungkitan pada hari mendatang.

“Saya juga tak mahu gara-gara tidak mampu memberikan zuriat, diganti pula dengan payung emas. Jadi, sebelum berkahwin saya sudah minta suami fikirkan semasak-masaknya.

“Jika suami ada terfikir mengenai zuriat, saya minta tidak meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan saya.

“Saya bukan meletakkan syarat dan mahu suami ikut syarat saya. Ini kerana saya tahu sejauh mana kemampuan saya pada usia mencecah 50-an,” kata Jasmin lagi.

Bukan tiada keinginan mahu menghadiahkan suami seorang zuriat, tetapi pada usia sudah agak lanjut, ditambah pula berdepan masalah kesihatan, Jasmin berkata, dia tidak mahu mengambil risiko, biarpun ada yang beranggapan masih berkemampuan untuk memperoleh anak.

Mengulas keadaan kesihatannya, Jasmin berkata, dia bakal melakukan rawatan angiogram, bulan ini.

“Selepas itu, barulah saya tahu apakah perlu menjalani rawatan angioplasty atau sekadar memakan ubat bagi menyelesaikan masalah jantung tersumbat.

“Saya juga perlu mengambil ubat pencair darah, setiap hari.

“Saya tetap bekerja seperti biasa. Alhamdulillah, saya tidak merasa apa-apa yang pelik selepas keluar hospital.

“Sebaliknya, saya rasa badan seperti biasa dan sudah boleh bekerja,” katanya.

Soal zuriat sudah dibincangkan Jasmin, suami dan keluarga mentua sebelum mereka mendirikan rumah tangga. - Foto IG Jasmin Hamid
Soal zuriat sudah dibincangkan Jasmin, suami dan keluarga mentua sebelum mereka mendirikan rumah tangga. – Foto IG Jasmin Hamid

Pelakon filem Boss dan Kanta Serigala itu berkata, setakat ini, keadaan kesihatan tidak menjejaskan kerja, cuma, tidak boleh agresif seperti dahulu.

“Saya bersyukur rakan-rakan di lokasi penggambaran sangat prihatin. Mereka sentiasa mengingatkan saya jika tidak sedap badan atau sebagainya.

“Selain itu, saya juga perlu menjaga pemakanan. Jadi, juadah raya seperti rendang, lemang dan sebagainya boleh dimakan tetapi biarlah berpada-pada,” katanya turut menafikan mendapat serangan jantung disebabkan tekanan kerja.

Ujar Jasmin, dia paling pantang apabila orang luar mengaitkan penyakit dihidapi dengan tekanan kerja.

“Saya sayangkan kerjaya sebagai pelakon. Saya sudah menceburi bidang seni sejak 30 tahun lalu.

“Jadi, kesakitan ini tiada kena mengenai dengan tekanan kerja,” katanya.

Terdahulu, Jasmin dirawat selama lima hari di Unit Penjagaan Koronari (CCU) di Hospital Sungai Buluh selepas mengalami serangan jantung, awal Jun lalu.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan Ian Rashid Macquistan, namun, berpisah pada Februari 2008. Hasil perkahwinan dikurniakan anak lelaki, Ian Haziq. Jasmin juga memiliki dua anak angkat, Rohana dan Lukhman Hakim.

SUMBER: BERITA HARIAN

Be the first to comment on "Enggan jadi ungkitan, soal zuriat bincang sebelum kahwin"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*