Aishah ‘Cinta Ibadah’ tak tertekan sekalipun kurang popular

Kuala Lumpur: Pelakon Aishah Ilias tampil menjawab punca dirinya terpaksa menghilangkan diri ketika namanya menjadi bualan ramai menerusi drama Cinta Ibadah pada 2014.

Aishah berkata, dia menghilangkan diri atas hal peribadi dan sukar dijelaskan secara terbuka.

“Sebenarnya ada sebab ia berlaku, tetapi saya tidak boleh untuk mendedahkannya kerana ia membabitkan soal keluarga.

“Disebabkan itu, saya pilih untuk ‘rehat’ sekejap dan apabila semuanya sudah selesai, sekarang saya kembali semula berlakon,” katanya.

Menurut Aishah, meskipun sedar namanya kurang popular berbanding rakan-rakan seangkatan seperti gandingannya dalam Cinta Ibadah iaitu Fattah Amin, namun Aishah tidak menganggap perkara itu sebagai satu tekanan.

“Saya memang ada, bukan senyap. Tawaran berlakon yang kadangkala kurang menarik membuatkan saya perlu teliti. Maklum saja cerita Melayu balik-balik ‘Megah Holding’.

“Tawaran cerita begitu ada dan memang saya terima, namun tidak kena dengan minat. Walaupun nama saya kurang popular, tetapi sebilangan watak kurang sesuai dengan saya seperti watak kampung.

“Pernah sebelum ini saya membawa watak seperti itu, tetapi tidak menjadi kerana kurang bersuaian dengan wajah.

“Walaupun persaingan dengan artis baru itu memang ada, tapi itu rezeki masing-masing kerana sebagai contoh Che Ta (Rozita Che Wan) turut memulakan kerjaya lakonan agak lambat, tetapi meletup sehingga sekarang.

“Jadi sekarang ini saya sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Aishah kini muncul menerusi filem berjudul Musyrik – Api Neraka Menantimu yang turut menampilkan Aeril Zafrel, Ashraf Muslim dan Ruhainies sebagai pelakon utama.

Karya terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu sedang ditayangkan di pawagam sejak 7 Julai lalu.

SUMBER: HARIAN METRO

Be the first to comment on "Aishah ‘Cinta Ibadah’ tak tertekan sekalipun kurang popular"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*