Jaringan minit akhir Forestieri bikin Sabah gigit jari

KOTA KINABALU: Kesilapan saat akhir memberi sepakan percuma di depan gawang menyaksikan Sabah FC terpaksa gigit jari apabila tunduk 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Ketegangan di antara pemain Sabah dan JDT juga berlaku pada minit akhir perlawanan berikutan kekasaran terhadap pemain tuan rumah yang menimbulkan rasa tidak puas hati, khususnya dalam kalangan skuad Sang Badak.

Namun, skuad Harimau Selatan akhirnya membawa pulang tiga mata selepas mencipta dua gol menerusi Fernando Forestieri, masing-masing pada minit ke-26 dan ke-95, sekali gus mengecewakan lebih 20,000 penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas.

Pemain Sabah FC, Park Taesu melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias dalam aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Likas, malam ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC, Park Taesu melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias dalam aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Likas, malam ini. – NSTP/Mohd Adam Arinin

Skuad Badak sebelum itu berjaya bertahan dengan kedudukan 1-1 sehingga tamat 90 minit sebelum pengadil memberi tambahan lima minit yang menyebabkan kedudukan berubah susulan sepakan percuma dari luar kotak penalti gawang Sabah.

Secara keseluruhan permainan agak tegang sepanjang perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menerusi aksi permainan yang tangkas, kecuali pada separuh masa kedua yang agak perlahan disebabkan permianan banyak terhenti berikutan kesalahan dilakukan pemain.

Aksi saling berbalas serangan bermula seawal minit pertama dengan JDT dilihat tidak berlengah melakukan percubaan sejurus wisel perlawanan dibunyikan.

Gawang Sabah menjadi sasaran dengan serangan demi serangan JDT sehinggalah skuad Sang Badak berjaya melakukan serangan balas bermula minit kesembilan menerusi percubaan yang dimulakan Saddil Ramdani.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee kemudian meneruskan asakan ke arah gawang JDT menerusi beberapa lagi percubaan dilakukan Gary Steven Robbat dan Taiki Kagayama pada minit ke-17 dan ke-18 sebelum disusuli cubaan Park Taesu seminit kemudian.

Pemain Sabah FC meraikan gol jaringan Park Taesu. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC meraikan gol jaringan Park Taesu. – NSTP/Mohd Adam Arinin

Tendangan Park ke arah tepi gawang JDT pada minit ke-19 itu berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias sekali gus membolehkan Sabah mendahului dengan 1-0.

Bagaimanapun, JDT tidak berlengah melakukan serangan balas ke arah gawang Sabah sehingga akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26 melalui Forestieri.

Aksi selepas itu turut menyaksikan JDT lebih banyak menyerang gawang Sabah, namun gagal menambah sebarang gol sehinggalah wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Beralih ke babak kedua, rentak permainan berubah agak perlahan, namun JDT dilihat lebih menguasai permainan dan tidak berputus asa untuk mengutip tiga mata dari Sabah.

SUMBER: BERITA HARIAN

Be the first to comment on "Jaringan minit akhir Forestieri bikin Sabah gigit jari"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*