UMNO dalam persimpangan, kata KJ

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – UMNO kini berada di persimpangan jalan yang akan menentukan masa depan sebagai parti yang paling besar, bersejarah dan berpengaruh di Malaysia.

Oleh itu, UMNO perlu penyelesaian segera tiga persoalan penting demi kelangsungannya pada masa depan, kata Khairy Jamaluddin.

Persoalan itu membabitkan apakah komitmen parti kepada susunan politik baharu hari ini, apakah UMNO akan juga turut membina asas politik dan ideologi kepada functional government yang ada sekarang.

Satu lagi persoalan adalah siapakah barisan pemimpin yang paling sesuai untuk mengemudi UMNO untuk memilih jalan yang terbaik di persimpangan ini.

Hala tuju yang bakal diputuskan secara bersama boleh melihat kembalinya semula UMNO sebagai parti peneraju bagi pentadbiran kerajaan atau parti kesayangan orang Melayu ini ditalqinkan selama-lamanya.

Menurut bekas Ketua Pergerakan Pemuda, tiga masalah pokok itu masih tidak lagi disentuh oleh kepimpinan UMNO.

”Biasanya perutusan ulangtahun parti oleh pemimpin sarat dengan ayat-ayat biasa dan klise. Masalah pokok tidak disentuh.

”Kerana adat politik Melayu, adalah umpama bersilat. Banyak bunga sembah dahulu. Saya pergi terus kepada dilema parti yang perlu penyelesaian segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Khairy berkata, sudah dua tahun UMNO kehilangan mandat rakyat buat julung kalinya.

Malah sudah dua tahun berlalu UMNO membawa suara rakyat sebagai pembangkang berdepan Kerajaan Pakatan Harapan yang mengingkari janji, menjejaskan pendapatan negara, memotong segala jenis bantuan rakyat dan memusnahkan keharmonian kemajmukan negara.

Namun, akhirnya, pakatan tersebut gugur dengan sendirinya atas sebab-sebab mereka sendiri.

”Maka kembalinya UMNO di dalam saf pentadbiran hari ini, walaupun sebagai pelengkap kepada perikatan yang terpaksa disusun dek pembunuhan diri Pakatan Harapan. UMNO telah menyertai sebuah functional government atau kerajaan yang berfungsi untuk memperbetul hala tuju negara yang terpesong trajektorinya selama dua tahun.

”Sebuah functional government (kerajaan yang berfungsi) bergerak atas ciri-ciri teknokratik dengan melihat keputusan dasar melalui kancah pentadbiran semata-mata. Justeru, ia berbeza dengan sebuah kerajaan yang mempunyai asas politik atau ideologi. A functional government is not a political government (kerajaan politik) or an ideological government (kerajaan ideologi)

Jelasnya, sebuah political government memerlukan kerjasama parti-parti memerintah untuk bersetuju dengan asas kerjasama dan asas itu diinstitusikan.

Manakala sebuah ideological government mesti mempunyai falsafah dan dokumen dasar yang menjadi akujanji kerajaan itu kepada rakyat.

Sedangkan, katanya, pada hari ini UMNO mendukung kerajaan semasa dan adalah sebahagian daripada barisan functional government ini.

”Namun demikian, sebagai sebuah parti badan siasah, UMNO mesti melihat dua tiga langkah kehadapan. Apakah komitmen kita kepada susunan politik baharu hari ini? Apakah UMNO akan juga turut membina asas politik dan ideologi kepada functional government yang ada sekarang? Dan paling penting, siapakah barisan pemimpin yang paling sesuai untuk mengemudi UMNO untuk memilih jalan yang terbaik di persimpangan ini,” soalnya. – MalaysiaGazette

Be the first to comment on "UMNO dalam persimpangan, kata KJ"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*