Gelandangan mula temu duga kerja hari ini

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada 800 gelandangan di sekitar ibu kota yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula menjalani proses temu duga kerja bermula hari ini hingga Selasa depan.

Usaha itu dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui jawatankuasa khas gelandangan dianggotai agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Antidadah Kebangsaan serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Difahamkan, golongan gelandangan yang berjaya dalam temu duga akan ditawarkan gaji sebanyak RM1,400 sebagai permulaan berserta elaun untuk jawatan operator pengeluaran kilang.

Mereka juga turut berpeluang bertugas sebagai pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gaji harian yang membolehkan mereka mendapat kira-kira RM1,200 sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau melahirkan kesyukuran kerana akhirnya golongan gelandangan itu menyahut seruan untuk memulakan kehidupan baharu.

Beliau berkata, sementara menunggu untuk mula bekerja, golongan gelandangan ini akan dipindahkan ke dua asrama yang disediakan DBKL dan syarikat yang bakal menggajikan mereka.

“Saya amat bersyukur mereka sahut seruan saya untuk memulakan hidup lebih baharu. Semoga dengan berkat Ramadan kita semua beroleh keampunan dan keredhaan Allah SWT,” katanya, di sini.

Sebelum ini, Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan dana khas berjumlah RM1 juta bagi menjaga kebajikan golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Dana itu adalah bagi tujuan perubatan, perkhidmatan kaunseling penyediaan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan dalam usaha supaya Kuala Lumpur dapat dibersihkan.

Kira-kira 800 gelandangan diselamatkan secara berperingkat sebelum ini dan ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul; Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Desa Pahlawan; Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras.

Sumber :BHOnline 

Be the first to comment on "Gelandangan mula temu duga kerja hari ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*