Habib Ali Buka Mulut Selepas Namanya Dicadang Jadi Mufti Wilayah, 30k Sudah Tandatangan Petisyen

Pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abedin al-Hamid yakin negara mempunyai ramai ilmuan yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) layak untuk memikul tanggungjawab sebagai mufti Wilayah Persekutuan.

Habib Ali berkata beliau sedar mengenai kewujudan satu petisyen yang kini ditandatangani lebih 33,000 orang yang mencadangkan agar beliau dilantik ke jawatan itu.

Pengerusi Yayasan Ar Ri’ayah itu berkata, petisyen sokongan itu bukan untuknya, sebaliknya untuk agama dan negara Malaysia.

Habib Ali merendah diri

” Saya turut yakin petisyen ini bukan untuk saya, namun ia untuk agama dan negara Malaysia.

” Namun, saya yakin bahawa terdapat lebih banyak ilmuan yang lebih layak dan pakar dalam bidang fikah dan usul fikah.

” Ini kerana tanggungjawab di jabatan mufti itu lebih merujuk kepada bidang hukum hakam yang perlu dibahasakan secara terperinci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, tersebar satu petisyen yang tular di media sosial, cadangan supaya Habib Ali dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baru menggantikan Zulkifli Mohamad yang dilantik sebagai menteri agama.

Zulkifli memegang jawatan itu mulai Jun 2014, sebelum dilantik menyertai kabinet Muhyiddin Yassin dalam kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Zulkifli mencipta sejarah sebagai mufti pertama yang diangkat sebagai menteri.

Sementara itu, Habib Ali berkata siapa saja yang dilantik sebagai mufti Wilayah Persekutuan haruslah daripada individu berpegang kepada akidah ASWJ berpandukan kepada Imam Abu al-Hasan al- Ash’ari.

Selain itu haruslah berpegang kepada Mazhab Syafie yang menjadi landasan kepada hukum hakam di negara ini.

” Ilmuan tersebut perlu arif dalam bidang fatwa, berpegang kepada ASWJ berpandukan kepada Imam Abu al-Hasan al- Ash’ari dan berpegang kepada Mazhab Syafie.

” Inilah yang menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia, bahawa orang yang dipilih mempunyai kelayakan tersebut,” katanya.

Sekilas info tentang Habib Ali

Nama sebenarnya adalah Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar bin Salim bin Hadi bin Salim Al Hamid bin Sheikh Abu Bakar.

Berikut adalah sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau:-

1974 – 1992

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 12 April 1974, selepas solat Jumaat di Bondowoso, Jawa Timur, Indonesia.

Beliau anak ke-2 dari 6 adik-beradik (4 lelaki dan 2 perempuan). Beliau daripada keluarga sederhana yang hidup di sebuah perkampungan yang didiami oleh ramai para ulama’ dan terdapat juga beberapa buah pondok pesantren di situ.

Beliau juga adalah antara anak murid Al Habib Umar bin Hafidz yang pertama di Dar Al Mustafa. Bakat semulajadi beliau sebagai seorang pendakwah mula diasah oleh Al Habib Umar bin Hafidz.

2002 – SEKARANG

Setelah menerima ijazah (degree) dalam jurusan ‘Islamic Legislation and Law’ dari Universiti Al Azhar, Habib Ali meneruskan kembara ilmunya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Malaysia, dalam jurusan Al Quran dan Sunnah.

Dalam tahun 2004, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri, pengasas Darul Murtadza berpindah ke Kota Tinggi, Johor. Oleh kerana itu, Al Habib Abdul Qadir Al Jufri telah memohon Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid untuk mengambil alih.

Alhamdulillah, sejak dari itu, Darul Murtadza telah berkembang dari awalnya sebagai pengajian di rumah Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dengan jemaah 10 – 20 orang ke, di Surau Al Hidayah (AU3) dan sekarang, di Masjid Muadz Ibn Jabal, Setiawangsa dengan jemaah yang makin bertambah, InsyaAllah.

Be the first to comment on "Habib Ali Buka Mulut Selepas Namanya Dicadang Jadi Mufti Wilayah, 30k Sudah Tandatangan Petisyen"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*