Tak Sanggup Lagi Tunggu Amy, Search Terpaksa Ambil Awie Sebagai Pengganti. Ini Reaksi Balas Amy

Kami semua tunggu dalam keadaan tertekan sampai rasa langit pun mendung disebabkan hampir dua tahun tak terima tawaran membuat persembahan sedangkan anggota band lain perlu teruskan hidup dan ada tanggungan.”

Demikian luahan pemain bass kumpulan rock tersohor tanahair Search, Nasir Daud tentang kemelut yang membelenggu antara ahli dengan vokalis utama, Amy.

Tidak mampu lagi menerima jawapan mengecewakan daripada Amy, pemain bass Search, Nasir Daud dan dua lagi anggota kumpulan itu akhirnya terpaksa reda untuk membawa konsert Apologia tanpa vokalis mereka demi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Sebaliknya, kata Nasir, peminat tidak perlu khuatir kerana konsert Apologia yang bakal berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur, 28 Mac depan itu tetap akan diteruskan dengan pengganti yang juga tidak kurang hebatnya, iaitu vokalis Wings, Awie.

” Beberapa kali sudah saya ajukan perkara ni padanya, tapi pihak pengurusannya asyik beri respons sama selain bagitahu Amy tak boleh beri komitmen. Jawapan ni buat kami tertanya-tanya adakah perlu untuk tunggu setahun, dua lagi?

” Justeru, kami fikir sebulat suara tahun 2020 ni untuk maju ke hadapan sebab dah tak mampu nak duduk rumah, melepak dan berdiam diri lagi,” katanya.

Nasir juga pada masa sama menyatakan harapannya untuk mendapat restu daripada Amy bagi meneruskan konsert berkenaan.

Nasir ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Apologia Search dan Awie di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah Amy sudah keluar dari Search, Nasir menjawab penyanyi itu sebenarnya masih sah menjadi anggota kumpulan tersebut.

Malah Nasir pada masa sama menegaskan, kenyataan diluahkan itu bukanlah bertujuan untuk mengapi-apikan pihak lain atau mengeruhkan keadaan.

” Sebenarnya Amy masih ada (dalam Search) cuma dia sibuk dengan urusan peribadi seperti hal keluarga dan perniagaannya, ekoran itu tak dapat nak teruskan dengan aktiviti kumpulan.

” Kami juga bukan nak isytihar perang dengan mana-mana pihak atau mengeruhkan keadaan. Kami jalankan tugas secara profesional cuma tak nak ada pihak lain datang melaga-lagakan,” katanya.

Awie pula menjelaskan dia enggan mencampuri urusan dalaman Search sebaliknya biarlah dirinya dianggap sebagai penyeri konsert itu nanti.

” Saya anggap ini sebagai peluang rezeki selain boleh membantu anggota Search yang lain menjana pendapatan.

” Alhamdulillah dalam banyak-banyak penyanyi mereka pilih saya. Saya juga pernah jalinkan kerjasama dalam projek Bikin Wilayah bersama Search suatu ketika dulu,” katanya.

Untuk rekod, pada 1998, sewaktu ketiadaan Amy dalam Search, Awie tampil untuk menjayakan album projek istimewa berjudul Bikin Wilayah.

Selepas pemain dram Yazit Ahmad meninggal dunia pada 26 September tahun lalu, selain Amy dan Nasir, Search diteruskan dengan Kid (gitar) dan Din (gitar) manakala khidmat Pae digunakan sebagai sessionist (dram).

Sementara itu, ketika dihubungi, Amy berkata dia memberi restu kepada Search untuk menjayakan konsert Apologia bersama-sama Awie.

Menjelaskan ketiadaannya dalam konsert berkenaan, Amy menjawab ia disebabkan dia terlalu sibuk menguruskan perniagaan ketika ini.

” Saya restu. Lagipun dulu mereka pernah buat album bersama Awie.

” Lagipun tawaran datang secara mengejut, sekurang-kurang beri saya tempoh seawal enam bulan kerana untuk adakan sesebuah konsert, ia membabitkan persediaan yang rumit,” katanya.

Dalam pada itu, penulis cuba mencari info menerusi akaun IG Amy. Rupa-rupanya akaun IG Amy sudah kena hacked dan kini menggunakan akaun IG baru, juga menggunakan nama sama Akuamysearch.

” IG aku kena hacked. terima kasih dan tahniah buat hackers yg menceroboh dn membakar sbuah bahtera pelayaran aku. tentunya jari2 kamu masih bergetar kegembiraan”, tulis Amy.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : malaysiakini dan IG Akuamysearch

Be the first to comment on "Tak Sanggup Lagi Tunggu Amy, Search Terpaksa Ambil Awie Sebagai Pengganti. Ini Reaksi Balas Amy"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*