Tunggu, esok saya jawab! – Hans Isaac

“KAMI memimpin dengan penuh integriti dan mahu melihat hasil yang baik. Semua tuduhan itu akan dijawab esok,” kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berhubung gesaan enam persatuan artis meminta dia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo meletak jawatan susulan kontroversi pemendekan tempoh perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, kelmarin.

Hans ketika dihubungi berkata, dia akan mengadakan sidang media khas jam 12.30 tengah hari esok bagi memberi penjelasan berhubung kontroversi itu.

“Dalam sidang media itu, saya akan menjawab semua tohmahan, dakwaan dan gesaan,” katanya.

Dalam satu sidang media semalam, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem (Profima), Kapten Khir Mohd Noor bersama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT); Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) menggesa Gobind dan Hans meletakkan jawatan kerana didakwa gagal memimpin.

Hans berkata, beliau tidak berkesempatan memberikan reaksi awal kerana pihaknya meraikan kejayaan pengkarya seni kreatif yang bakal menikmati kenaikan harga bagi karya yang ditayangkan di RTM seperti diumumkan Gobind, semalam.

“Saya mahu menegaskan bahawa kami memimpin dengan penuh integriti. Oleh itu, kami fokus untuk memberikan yang terbaik kepada industri seni,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Idham ketika dihubungi berkata, beliau akan membuat pendedahan berhubung konflik kepimpinan baharu Finas, dalam masa terdekat ini.

Industri perfileman tanah air minggu lalu kecoh apabila khabar angin mengatakan Ahmad Idham digantung tugas.

Selang beberapa hari kemudian, Finas dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas sehingga 10 Mac 2020. Kontrak beliau sepatutnya tamat pada 10 Mei 2021.

Ahmad Idham turut mengakui beliau membuat permohonan itu selepas diberi tekanan beberapa pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 2:38 PM

Be the first to comment on "Tunggu, esok saya jawab! – Hans Isaac"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*