Shahir selamat bertunang, rahsiakan siapa tunangnya

Kuala Lumpur : “Buat masa sekarang, biarlah saya rahsiakan namanya,” kata penyanyi, Shahir Zawawi, 34, mengenai majlis pertunangannya dengan wanita dari Tawau, Sabah yang berlangsung tengah hari, hari ini.

Shahir ketika dihubungi berkata, majlis ringkas itu berlangsung di kediaman keluarga wanita itu di Tawau dan dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Majlis berlangsung selepas Zuhur. Dari pihak keluarga saya, ada enam orang yang hadir. Mengenai nama dan siapa orangnya, nanti saya akan kongsikan bila saya dah bersedia. Buat masa sekarang, biarlah rahsia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shahir, itu adalah kali pertama keluarga kedua-dua belah pihak bertemu bertentang mata.

“Saya dan dia pernah berjumpa keluarga masing-masing, tapi di majlis tadi itu adalah kali pertama keluarga kami bertemu antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh ikatan sebelum Shahir melangkah ke alam perkahwinan dengan wanita berusia 31 tahun itu, penyanyi lagu Dia Yang Kau Pilih itu tidak mahu menunggu lama.

“Majlis pertunangan ini adalah untuk mengikut adat sebab masing-masing nak merasa pengalaman bertunang. Apa yang boleh saya kongsikan, kami tak rancang untuk menunggu lama dan kalau ada rezeki, kami akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Be the first to comment on "Shahir selamat bertunang, rahsiakan siapa tunangnya"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*