Terputus bekalan makanan, gantung baju putih ganti bendera

Kota Bharu: Sebuah keluarga terp@ksa mengenepikan perasaan malu dengan menggantung baju putih di depan rumahnya bagi menggantikan bendera, selepas bekalan makanan di rumah mereka hampir terputus.

Norasmalina Nazir, 45, dan suaminya, Suhaimi Idris, 51, terpaksa berbuat demikian demi memastikan 11 anak mereka berusia setahun hingga 21 tahun termasuk tiga anak saudara yang juga yatim piatu tidak terputus bekalan makanan.

Keputusan menggantung baju putih di tangga rumah mereka dibuat jam 3 petang semalam sebelum badan bukan kerajaan (NGO) hadir dua jam kemudian untuk menyerahkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Noramaslina berkata, jika sebelum ini mereka sekeluarga masih boleh menjalani kehidupan biasa memandangkan suami bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan hampir RM1,000 sebulan.

Namun katanya, sejak lebih dua bulan lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, suami hilang pekerjaan menyebabkan kehidupan mereka terhimpit.


NORASMALINA terpaksa menggantung baju putih di depan rumahnya selepas terputus bekalan makanan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Selepas disarankan oleh rakan supaya menggantung bendera putih, saya dan suami sepakat menggantung baju putih di depan rumah memandangkan bekalan makanan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari saja lagi.

“Malah, wang simpanan selama ini juga sudah habis memandangkan suami sudah lama tidak bekerja. Saya juga tidak menyangka kaedah menggantung baju putih itu menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Tumbuh, di sini, hari ini.

Dia berkata, setiap hari dia hanya mampu menyediakan telur kicap sebagai hidangan harian memandangkan dia mempunyai ramai anak.

“Bukan kerana anak tidak suka ayam atau ikan, namun makanan itu agak mahal dan telur lebih jimat untuk saya yang mempunyai anak ramai.

“Alhamdulillah semalam ada beberapa NGO hadir memberikan keperluan asas termasuk wang tunai selepas inisiatif yang saya lakukan. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang hadir menyampaikan sumbangan,” katanya yang memaklumkan sebelum ini penghulu sering memberi bekalan makanan.

 

Sumber : HM

Be the first to comment on "Terputus bekalan makanan, gantung baju putih ganti bendera"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*