Kita sebenarnya tak berminat kalahkan Muhyiddin – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2020.

LANGKAWI – “Jadi, itulah keadaan sekarang, tergantung-gantung, tidak ada keputusan. Ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya tidak berminat untuk kalahkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin).”

Itu keluhan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak berminat untuk mengambil alih kerajaan apabila masih gagal mencapai keputusan berkenaan calon Perdana Menteri.

Ia susulan keputusan PKR yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tidak sependapat dengan ahli PH lain, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, yang mahukan Mahathir.

“Itu terpulang kepada mereka, kita tidak akan paksa kalau mereka tidak bersetuju. Tetapi, kita pun tidak bersetuju juga dengan dia,” kata Mahathir seperti laporan Astro Awani hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu ditemui selepas menghadiri program sembang santai bersama ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi, malam tadi.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas keputusan PKR menolak cadangan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri, sebaliknya memilih Anwar, jika PH berjaya mengambil alih kerajaan.

DAP dan Amanah pula memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dengan alasan Anwar dilihat gagal memperoleh sokongan.-

Sumber :MalaysiaGazette

Be the first to comment on "Kita sebenarnya tak berminat kalahkan Muhyiddin – Tun M"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*