Walaupun sudah minta maaf, hati penjawat awam tercalar

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bercakap pada sidang media di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Tokoh-tokoh dan ahli-ahli perniagaan yang berjaya di negara ini diingatkan tidak mudah terlepas mulut apabila membuat kenyataan membabitkan penjawat awam bagi mengelakkan tercetusnya rasa ketidakharmonian.

Ini kerana, hubungan baik dan erat antara sektor awam dan swasta selama ini berjalan dengan baik sebagai satu pasukan yang terlibat dalam membangunkan negara.

Oleh itu, jangan sesekali merobek hubungan baik ini kerana hendak merosakkannya mudah tetapi untuk membina semula adalah sukar.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Penguasa Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia, Datuk Azih Muda berkata, kelompok itu jangan lupa penjawat-penjawat awam adalah golongan yang berada di belakang tabir kerajaan yang banyak membantu mereka secara langsung dan tidak langsung sehingga diangkat pada kedudukan sekarang.

“Mereka ini bukan ‘terus terbang dari bawah ke atas. Mereka berjaya dengan bantuan kerajaan dan kakitangan awam.

”Sebenarnya saya secara peribadi amat kesal dengan kata-kata yang dilemparkan mengenai penjawat awam oleh beberapa ahli perniagaan berjaya, seolah-olah kakitangan awam ini tidak ada peranan langsung.

“Mereka langsung tidak berfikir tentang implikasi kata-kata mereka yang boleh mengguris hati penjawat awam. Betullah selepas cakap lepas, mereka memohon maaf tetapi hati kami tercalar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lantaran itu, Azih meminta peneraju-peneraju perniagaan bersikap matang dan berhati-hati apabila melontarkan pandangan berkaitan penjawat awam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan SM Datuk Faisal SM Nasimuddin yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penjawat awam dan ahli politik yang memperoleh gaji seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sementara ada pihak yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

”Kerajaan menutup kemampuan anda dari memperoleh pendapatan dan menyekat kebebasan anda, tetapi setiap penjawat awam dan ahli politik masih menerima gaji seperti biasa. Dan ia menggunakan wang anda (cukai). Apa kata anda?”

Kenyataan Faisal itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penjawat awam sehingga mendorongnya memohon maaf.

Terdahulu, Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Mydin Mydin mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan kerajaan terus mengekalkan gaji pegawai awam.

Taikun peruncitan itu berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan pekerja, tetapi ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam walaupun gaji anggota Kabinet dipotong 2 bulan.

Azih yang mengulas kenyataan tersebut berkata, jangan ‘pukul’ sama rata penjawat awam secara sesuka hati.

Ini kerana, ada sebahagian penjawat awam masih dalam kategori B40, yang juga terpaksa melakukan dua, tiga kerja untuk kelangsungan hidup mereka.

Meskipun, bukan semua kehidupan mereka mewah tetapi itu bukan sebab untuk ahli-ahli perniagaan yang berjaya memandang remeh terhadap penjawat awam.

”Susah-susah kami, kami tidak merintih, tidak memandang rendah pada pekerja lain.

”Saya harap mereka yang terlibat jagalah tutur katakerana kedudukan penjawat awam ini luas. Kami terdiri daripada pekerja biasa hinggalah ke peringkat pembuat dasar.

“Oleh itu, hormati peranan kami, jangan lupa pengorbanan penjawat awam yang susah senang dengan kerajaan dalam apa pun situasi melanda negara.- MalaysiaGazette

Sumber:MalaysiaGazette 

Share this:

Be the first to comment on "Walaupun sudah minta maaf, hati penjawat awam tercalar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*