PKPB di Kedah berkuat kuasa serta merta

ALOR SETAR: Kedah bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata semua sektor ekonomi beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya ada laporan majikan melanggar syarat seperti tidak melakukan proses sanitasi, tidak menyediakan penutup hidung dan mulut, tindakan undang-undang akan diambil.

Katanya, bagi premis makanan, kerajaan negeri masih tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis, sebaliknya makanan hanya boleh dijual secara dibungkus atau penghantaran bermula jam 8 pagi hingga 8 malam, manakala premis makanan Muslim bermula jam 3 petang hingga 8 malam.

“Bagi aktiviti riadah, kita masih tidak benarkan taman awam atau taman rekreasi dibuka kepada orang ramai… hanya sukan individu boleh lakukan di kawasan taman perumahan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Mukhriz berkata, semua pusat beli belah di negeri ini turut dibenarkan beroperasi dengan syarat setiap premis perlu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, bagi sektor peruncitan dan pemborongan pula, operasinya juga dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.”Begitu juga dengan pejabat kerajaan, panduan operasi jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan akan diedarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Semua pejabat kerajaan di peringkat negeri dan daerah dibuka dan apa-apa urusan dengan kerajaan bolehlah pergi ke pejabat atau berhubung dalam talian,” katanya.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "PKPB di Kedah berkuat kuasa serta merta"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*