Malaysia terima aset RM465.3 juta selepas lepaskan Riza Aziz

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dijangka menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta, hasil persetujuan yang dicapai untuk Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Razak, dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menjelaskan, ia adalah antara persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah.

Jelas SPRM, ia turut dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Melalui pelepasan bersyarat itu, pihak pendakwaan berhak mendakwa semula tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset di luar negara yang terbabit daripada kesalahan berkenaan, iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta atau RM465.3 juta.

“Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan yang dikenakan ke atasnya,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 5 Julai tahun lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "Malaysia terima aset RM465.3 juta selepas lepaskan Riza Aziz"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*