Gelandangan ibu kota hijrah, bekerja di Setiawan

KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama gelandangan membabitkan 43 individu memulakan kehidupan baharu mereka di Setiawan, Perak selepas diterima bekerja beberapa syarikat di sana.

Mereka sebelum ini ditemuduga kerja, berlepas jam 6.30 petang tadi menaiki dua bas disediakan untuk bekerja dengan turut diberi kemudahan tempat tinggal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata, kumpulan pertama itu dipindahkan dari pusat transit setelah dipilih beberapa syarikat untuk bekerja di sana termasuk di kilang pembuatan makanan.

Annuar berkata, 96 individu lagi, akan terbabit dalam kerja pembungkusan barangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Anjung Singgah selepas diterima berkerja di Top Glove Sdn Bhd.

“Sementara itu, kira-kira 200 orang pula akan dibawa untuk berkursus selama sebulan untuk meningkatkan potensi mereka dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diambil bekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jadi kita harap 500 gelandangan selepas ini yang ditemuduga akan mendapat kerjaya baharu kerana mereka yang dikenal pasti ini produktif, boleh bekerja,

Sihat tubuh badan dan usianya masih boleh bekerja,” katanya pada sidang media selepas sesi Pelepasan Penempatan Pekerjaan Kumpulan Gelandangan di Lobi Menara DBKL di sini, hari ini.

Annuar berkata, tawaran gaji juga agak lumayan sekitar RM1,400 hingga RM1,600, sekali gus boleh dijadikan sebagai permulaan buat mereka.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua syarikat berkenaan yang menyahut seruan kita untuk memberi peluang kepada gelandangan ini.

“Malah jika ada permintaan lain seperti di pasar borong yang memerlukan tenaga kerja kita akan usahakan.

“Ini kerana jika ikutkan permintaan itu lebih yang sebagai contoh syarikat di Setiawan inginkan 200 pekerja namun kita hanya boleh menghantar 43 orang dahulu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk membantu gelandangan luar dari ibu kota turut mendapat pekerjaan.

Sebelum ini terdapat sembilan majikan dikenal pasti, antaranya Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd, Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd yang memenuhi kriteria

Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JTK WPKL) serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menawarkan peluang pekerjaan.

Be the first to comment on "Gelandangan ibu kota hijrah, bekerja di Setiawan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*