Etnik Rohingya jadi nelayan, rancang tubuh persatuan

SUNGAI PETANI: Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin berani melanggar undang-undang dan merampas hak nelayan tempatan.

Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain, berkata ia termasuk kegiatan etnik Rohingya yang mula dikesan turut menjadi nelayan di negara ini.

Katanya, nelayan PATI dan etnik Rohingya ternyata memberi kesan terhadap aktiviti penangkapan hasil laut nelayan tempatan sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

JARING bimbang dan kesal apabila menerima banyak aduan daripada nelayan pantai di Semenanjung mengenai kehadiran PATI, dan kini etnik Rohingya pula turut menangkap ikan.

“Mereka dikesan mempunyai sampan dan menjalankan aktiviti memukat sehingga mengganggu sumber pencarian nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Che Ani berkata, golongan itu turut didakwa menceroboh kawasan paya bakau dengan menebang pokok bakau dan membina rumah.

Katanya, golongan itu juga menimbulkan kebimbangan nelayan tempatan apabila didakwa ada yang bersikap agresif seperti ahli kumpulan samseng.

“Di Pulau Pinang, terdapat 40 pemilik sampan yang dipercayai merancang menubuhkan Persatuan Nelayan Rohingya Pulau Pinang (kawasan Teluk Kumbar) yang jelas melanggar Akta Persatuan Nelayan 1971.

“Penguatkuasaan yang kurang tegas juga dibimbangi menyebabkan penyeludupan pelarian lebih senang dilakukan terutama di perairan Kedah dan Perlis,” katanya.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil bagi membendung kebanjiran golongan berkenaan ke dalam negara yang secara tidak langsung menjejaskan ekonomi penduduk tempatan termasuk nelayan.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "Etnik Rohingya jadi nelayan, rancang tubuh persatuan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*