COVID-19: Protokol baharu rawat pesakit akan diperkenalkan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan protokol baharu dalam merawat pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan kepada protokol baharu itu, pesakit COVID-19 akan dirawat dalam masa 14 hari sahaja kerana kadar kebolehjangkitan wabak itu akan lemah selepas dua minggu dirawat.

Beliau berkata, pihaknya masih lagi mempelajari virus berkenaan berikutan ia masih baharu.

Katanya, protokol sebelum ini menetapkan pesakit hanya boleh dibenarkan pulang selepas ujian yang dijalankan terhadap mereka pada hari ke-13 dan dalam tempoh 24 jam selepas itu menunjukkan keputusan negatif.

“Selepas itu kita ubah, kita perlukan hanya satu keputusan negatif cukup untuk discaj pesakit.

“Tapi semalam maklumat yang kita terima dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kajian dari negara lain menunjukkan bahawa kebolehjangkitan sudah kurang selepas tempoh 14 hari,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) masih mengesan peluruhan virus (virus shedding) ia adalah positif lemah yang tidak menjangkiti atau kebolehjangkitan kurang atau hampir sifar.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat semula laporan untuk prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk merawat pesakit COVID-19 termasuk kemungkinan tidak lagi perlu menggunakan ujian PCR.

Justeru, katanya, setiap pesakit positif COVID-19 akan mengguna pakai protokol baharu ini untuk tempoh 14 hari rawatan.

“Laporan baharu kita terima dan kita akan maklumkan kepada semua pakar kita di hospital mengenai protokol baharu dan kita akan merawat kes positif untuk tempoh 14 hari sahaja.

“Walaupun mereka akan positif selepas tempoh 14 hari, tetapi kebolehjangkitan itu adalah hampir sifar,” katanya.

Beliau berkata, selepas dibenarkan pulang, pesakit masih dinasihatkan untuk menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "COVID-19: Protokol baharu rawat pesakit akan diperkenalkan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*