18 tahanan PTI merusuh, 11 ditangkap, tujuh masih diburu

KOTA KINABALU: Seramai 18 tahanan pendatang tanpa izin (PTI) merusuh untuk meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal di sini, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Daripada jumlah berkenaan, lima tahanan berjaya ditangkap semula di dalam PTS, enam lagi dikesan di luar pusat tahanan terbabit, dan tujuh suspek yang merusuh masih diburu.

Mereka terdiri daripada Abdillah Harun, 33, Julham Sahdul, 21, Jamal Nashir, 26, Rafie Sakib, 22, Abdul Damsil, 41, Topi Topi Jul, 50 dan kanak-kanak berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata semua suspek melibatkan PTI warga Filipina berusia dalam lingkungan 12 hingga 50 tahun.

“Laporan polis dibuat oleh seorang pengawal keselamatan PTS terbabit yang mengatakan ada 18 tahanan merempuh dan cuba meloloskan diri daripada pusat tahanan,” katanya.

Habibi berkata lima tahanan berjaya ditangkap oleh pengawal keselamatan berkenaan dengan bantuan rakan setugasnya, namun, 13 yang lain berhasil memanjat dinding.

Menurutnya, pengawal keselamatan terlibat juga mengalami kecederaan di muka dan kepala akibat dipukul oleh kumpulan suspek terbabit semasa cuba melarikan diri.

“Selepas menerima maklumat, kita segera mengepung sekitar kawasan PTS dengan semua elemen seperti Unit Anjing (K9) dan Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

“Termasuk dari Balai Polis Menggatal, hasilnya enam lagi suspek ditangkap iaitu lima ditahan dalam masa dua jam selepas kejadian dan seorang lagi pada awal pagi,” katanya.

Menyentuh status kesihatan semua PTI terlibat pula, Habibi berkata mereka perlu menjalani ujian pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.

Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai yang melihat kelibat suspek di kawasan masing-masing supaya menghubungi polis untuk membolehkan tindakan segera diambil.“Siasatan kes dijalankan mengikut Sekysen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 224 akibat melarikan diri semasa menjadi tahanan yang sah,” katanya.

 

Be the first to comment on "18 tahanan PTI merusuh, 11 ditangkap, tujuh masih diburu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*