Akim, Stacy saling melengkapi

KUALA LUMPUR: Biarpun berbeza aliran dan fahaman muzik, pasangan penyanyi, Stacy dan Akim mampu mencipta magis sebagai pasangan duet.

Buktinya, single duet, Aku Kau Dan Muzik yang dilancarkan pada 14 Februari lalu mendapat sambutan luar biasa.

Lagu ciptaan Hang Nadim, Bunga Cantik, Akim, Stacy dan Freddy menceritakan perjuangan pasangan suami isteri itu dalam dunia persada muzik, kemudiannya mendirikan rumah tangga atas nama cinta.

“Lagu Aku Kau Dan Muzik disiapkan sejak Ogos, tahun lalu. Disebabkan, kami terbabit dalam program realiti, Mentor 2019, jadi projek ini tertangguh. Kami hanya ada kelapangan untuk memulakan proses rakaman, awal tahun.

“Muzik sudah siap terlebih dahulu, kemudiannya barulah saya menghasilkan lirik dan mendapat kata sepakat memilih judul. Tak sangka, muzik dan lirik kena dengan perjalanan hidup kami.

“Lagu ini dihasilkan daripada ekspresi kami sebagai suami isteri. Disebabkan itu, kami amat teliti dari sudut rentak, muzik dan lirik,” katanya.

Menariknya, lagu Aku Kau Dan Muzik adalah terbitan sulung syarikat mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment).

Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad berkata, dia dan Stacy tidak menjangka penghasilan lagu berkenaan lebih mendalam, sekali gus memberikan warna baharu dalam muzik mereka.

“Apabila lagu siap, saya menganggap ia sebagai magis. Saya tak terfikir hasilnya boleh pergi sedalam ini.

“Mungkin ini berkat bekerjasama dengan Freddy dalam proses penghasilan dari awal hingga penghujung lagu. Apa yang diinginkan, dapat dipersembahkan.

“Sejujurnya, gabungan saya dan Stacy dalam bidang penulisan lagu adalah saling melengkapi. Saya akan bertanya dan meminta pandangannya. Apa yang dirasakan kurang, Stacy akan memberikan cadangan,” katanya.

Disebabkan itu, Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret mengakui semakin selesa bekerjasama dengan isterinya sebagai pasangan komposer.

“Sejujurnya, kami selesa bekerjasama. Apatah lagi, kami banyak luangkan masa bersama. Proses nak buat lagu bukan mudah, memerlukan masa untuk mendapatkan idea.

“Jadi, ada ketika kami akan bercuti dan berkaraoke untuk mencari inspirasi. Apabila dapat idea, kami akan bergabung,” katanya.

Selain sibuk projek lagu sendiri, Stacy dan Akim juga dalam proses menerbitkan lagu beberapa penyanyi di bawah syarikat mereka. Antaranya, Rika Mentor 2019, Sharul Kamal, Seven Days dan Dr Hafiz Zainal.

Single Aku Kau Dan Muzik itu boleh didengar dan dilanggan di platform digital muzik. Lirik video rasmi lagu juga boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

Dalam tempoh dua minggu, lagu Aku Kau Dan Muzik sudah mencatatkan lebih 500,000 tontonan. Muzik video rasmi pula bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

Be the first to comment on "Akim, Stacy saling melengkapi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*