Tak sengaja nampakkan ‘baby bump’

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad terkilan apabila menjadi sasaran sesetengah individu yang mendakwa dirinya sengaja mendedahkan aurat dengan menayang ‘baby bump’ dalam perkongsian di media sosial.

Uyaina yang kini hamil lapan bulan berkata, dia tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya tidak mampu menutup kehamilannya itu. 

“Isu jangan tunjuk ‘baby bump’ banyak kali saya kena, tapi masalahnya kalau kehamilan dah masuk bulan ketujuh dan ke atas bagaimana nak sorok.. Saya bukan sengaja nak tayang bentuk kehamilan di media sosial. 

“Saya tak pakai baju ketat, malah saya tutup dengan kain tudung. Tak tahu bagaimana lagi saya nak puaskan hati orang yang mengatakan tunjuk ‘baby bump’ ini adalah aurat sedangkan saya menutup dengan pakaian dan bukan sengaja nak menunjuk bentuk kehamilan ini. 

 

“Saya juga tak faham kenapa wujud segelintir wanita yang kurang senang dengan wanita lain. Banyak hal yang sengaja dibangkitkan seolah-olah semuanya tidak sempurna di mata mereka. 

“Saya ingin jelaskan media sosial adalah sebahagian daripada kerja saya sebagai anak seni. Muat naik gambar atau video adalah tugas saya, jadi kalau ternampak ‘baby bump’ itu adalah sesuatu yang tidak sengaja,”katanya.

Terdahulu Uyaina tampil menjawab komen seorang pengguna akaun yang mengatakan ‘baby bump’ yang kelihatan pada video yang dimuat naiknya itu adalah aurat dan tidak boleh didedahkan selain memohon Tuhan mengampunkan dosanya. 

“Dalam Islam… ‘baby bump’ itu aurat. Tidak boleh didedah. Moga Allah ampunkan dosa beliau dan kita semua. Amin,”tulis seorang pengguna media sosial. 

Menurut Uyaina, dia bagaimanapun berharap pengguna media sosial berhenti menyekat kebahagiaan orang lain dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menguris perasaan. 

“Tak boleh ke tengok orang lain gembira. Jangan rosakkan emosi orang lain yang sedang melayari kebahagiaan.  

“Baru-baru ini juga saya ada melakukan ‘maternity shoot’ dan bayangkan betapa ramai yang tumpang gembira dan terinspirasi. Malah ramai juga yang menyesal apabila mereka tidak berkesempatan melakukannya kerana tiada kenangan untuk disimpan. 

“Jadi janganlah ada pihak yang tergamak nak bunuh kegembiraan orang yang bakal bergelar ibu dan bapa. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi kepada kehidupan mendatang. 

“Saya ingat anda respek saya sebab itu anda ikuti saya di media sosial. Tapi kalau ada komen-komen negatif, saya akan padam komen itu dan sekat,”katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Be the first to comment on "Tak sengaja nampakkan ‘baby bump’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*