“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,”.

SIAPA sangka pada usia 28 tahun, Nelydia Senrose sudah memegang gelaran hajah selepas pulang mengerjakan haji, baru-baru ini.

Berpeluang bertemu Nelydia pada majlis kesyukuran dan ulang tahun kelahirannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Nelydia mengakui segan apabila dirinya dipanggil hajah.

“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,” katanya membuka perbualan.

Wajahnya yang kelihatan berseri-seri dan cukup mendamaikan hati, Nelydia mengakui pengalaman mengerjakan rukun Islam kelima itu adalah sesuatu yang amat menakjubkan.

 

“Pengalaman mengerjakan ibadah haji sukar untuk saya susun dengan kata-kata sebab apa yang saya nak kongsikan dari mulut ini tidak akan sama dengan memori manis yang saya lalui di sana.

“Namun cukup sekadar saya katakan layanan Allah dan segala macam yang saya tempuh sangat cantik dan dipermudahkan. Walaupun saya pernah menunaikan umrah beberapa kali, tapi haji ini saya dapat rasa satu kelegaan yang sukar untuk diungkapkan.

“Benar orang kata pemergian mengerjakan haji ini ibarat kita berjihad dan berserah dengan apa saja ketentuan yang bakal berlaku. Saya serah segala-galanya kepada Allah dan mengharapkan kehadiran saya ini diterima dengan baik.

“Sepanjang berada di Tanah Suci saya juga selalu berdoa supaya lebih ramai umat Islam terbuka hati atau ada yang bercita-cita nak kerjakan haji dapat menunaikan ibadat ini,” katanya.

NELYDIA akui perjalanannya sepanjang berada di Tanah Suci dipermudahkan.
NELYDIA akui perjalanannya sepanjang berada di Tanah Suci dipermudahkan.

Menurut Nelydia, kehadirannya ke Makkah sudah menjawab beberapa persoalan yang sentiasa bermain di fikirannya apabila berpeluang berkenalan dan bertanya kepada ramai individu yang memiliki ilmu dalam Islam.

“Sepanjang berada di bumi penuh barakah saya belajar dan bertemu ramai orang. Kami saling berkenalan dan jumpa dengan individu yang tidak saya kenal sebelum ini.

“Ketika berada di Arafah kita semua dilayan sama rata tanpa mengira darjat atau pangkat. Setiap manusia dilayan sama rata dan memiliki tujuan hidup yang sama iaitu berserah diri kepada Allah selain memohon keredaan-Nya,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dan perkara yang dipohon kepada berada di Tanah Suci, Nelydia mengakui dia tidak boleh menipu diri dalam memperbaiki diri menjadi hamba yang lebih baik.

“Pengalaman kali pertama yang tidak akan dilupakan dan sentiasa dirindui. Saya sampai beritahu kepada suami nak tunaikan haji setiap tahun kalau diberi kesempatan sebab sangat menyeronokkan.

“Tipu kalau saya katakan kehadiran saya di sana bukan untuk mencari keredaan Ilahi. Di usia saya sekarang dan sudah melalui macam-macam fasa dalam kehidupan. Saya tidak boleh menipu diri.

“Allah itu Maha Mengetahui apa yang kosong dalam isi hati saya selepas melalui zaman remaja dan kini memasuki alam dewasa. Saya selalu berdoa supaya Tuhan tingkatkan keimanan dan beri saya kekuatan untuk terus istiqamah.

NELYDIA berdoa supaya Tuhan beri kekuatan untuk terus istiqamah.
NELYDIA berdoa supaya Tuhan beri kekuatan untuk terus istiqamah.

“Di bumi Allah memang kita boleh buat, tapi bila sampai sini lain pula ujian yang perlu dilalui. Jadi, saya selalu berdoa supaya Allah jauhkan saya daripada perkara yang boleh menghalang saya untuk melakukan sesuatu yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan aktiviti seni selepas ini, Nelydia berkata, buat masa ini dia enggan terburu-buru untuk kembali aktif berlakon sebaliknya mahu membiasakan diri dengan penampilan baharunya itu.

“Setakat ini karier seni akan terus berjalan seperti biasa, cuma saya nak biasakan diri dengan penampilan baru (bertudung) ini.

“Saya tahu apa yang boleh membuatkan saya suka dan datang perasaan nakal, jadi saya nak kawal dulu perasaan itu dan tidak terburu-buru,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Be the first to comment on "“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,”."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*