‘Saya mahu elak diri daripada bergosip, cakap perkara tak berfaedah.’-Hawa Rizwana

BANGUN seawal pukul 4 pagi setiap hari. Itu satu tugas yang bukan mudah.

Mengapa? Ini kerana untuk mencari semangat pada keheningan fajar memang suatu hal yang sukar dilakukan. Pun demikian, saya ketepikan itu semua demi pendengar radio dan penonton di kaca televisyen.

Lazimnya, saya memulakan hari dengan mendengar video motivasi pagi. Banyak petikan kata-kata yang menyuntik jiwa saya.

Antaranya berbunyi seperti: “Mulakan pagi anda dengan baik, maka perjalanan hari anda akan menjadi baik.“

Frasa itu seakan klise, namun untuk merealisasikannya bukan umpama memetik jari. Namun, pada saya, segala apa yang dilaksanakan mestilah bermula dengan niat atau nawaitu. Kalau baik, insya-ALLAH segenap perkara yang mahu dibuat akan dipermudahkan-NYA.

Formula itu sebenarnya saya turut implemenkan sebelum berjumpa sesiapa, tidak kira untuk bermesyuarat, mengendalikan sesuatu rancangan atau program siaran langsung, malah sebelum ke rumah rakan-rakan atau keluarga untuk acara makan.

Pun demikian, saya dan semua pembaca perlu terima hakikat bahawa bukan setiap hari kehidupan kita akan tenang dan bahagia. Ada sahaja cabaran yang adakalanya menduga kesabaran. Saya sendiri tidak dapat lari daripada ‘melatah‘ apabila yang direncana tidak menjadi dan diuji pada pertengahan jalan.

Apabila berdepan dengan situsi seumpama itu, saya sentiasa teringat ayat dalam video sama yang berbunyi: “Bayangkan perkara teruk yang tak diingini akan berlaku. Usah bayangkan hal yang indah-indah saja.“

Seandainya kita sudah berpegang kepada ‘azimat‘ tersebut, saya dan kita semua sudah tahu bagaimana untuk bertindak atau memberi respons.

Namun demikian, saya tidak menolak bahawa sebahagian pembaca akan menyifatkan konotasi rangkaian kata tersebut berbaur negatif. Namun, bagi saya, ia berupaya membantu kita untuk lebih bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

Jika kesiagaan itu ada, pasti kita akan berfikir dengan waras dan tenang serta percaya bahawa ‘gangguan‘ yang berlaku pasti ada hikmah yang besar yang bakal menanti.
Selain itu, saya juga berpegang dengan prinsip buat sehabis baik terhadap segala yang telah dipertanggungjawabkan.

Bukan apa, saya tidak mahu wujud penyesalan pada kemudian hari. Saya juga mahu lebih berani dan tidak mahu berlengah dalam mengejar sesuatu yang diimpikan.

Menyentuh tentang bab ‘tidak mahu berlengah‘, bagi saya ia juga merupakan satu tantangan. Pun begitu, saya sentiasa mengatur objektif dan menyenaraikan apa yang perlu dilakukan pada hari-hari mendatang.

Ingat, kalau empat daripada enam perkara dapat dilangsaikan sudah cukup baik. Inti pati yang berbaki, kita uruskan kemudian dengan pendekatan lebih sistematik.

SUMBER: SINAR HARIAN

Be the first to comment on "‘Saya mahu elak diri daripada bergosip, cakap perkara tak berfaedah.’-Hawa Rizwana"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*