Ewal tangguh kahwin, nak fokus kerja dulu

Puchong: Penyanyi kumpulan Kristal, Ewal Ismail, 30, belum mempunyai tarikh sesuai untuk melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya, Nur Syuhada Baharuddin atau Adda kerana mahu mendahulukan urusan kerja.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwan Hafiz Ismail ketika ditemui berkata, walaupun dia pernah menyatakan hasrat majlis perkahwinan mereka diadakan pada Disember tahun lalu selepas bertunang pada September, namun akur kini terpaksa menangguhkannya dulu.

“Buat masa ini, tak ada fokus lagi (untuk perkahwinan). Saya rasa patut fokus kepada Kristal sebab kita ada banyak projek yang nak dibuat nanti. Tiba-tiba, bos pula macam nak bagi pelbagai projek untuk Kristal seperti rakam lagu untuk OST, lepas ini rakam lagu dengan penyanyi legenda pula.

“Jadi, ada kerja yang perlu dibuat dulu termasuk Kristal juga akan terbabit dengan rakaman beberapa buah lagu baharu dan saya rasa lebih baik fokus pada kerja dululah. Sedikit sebanyak, kadang-kadang mengganggu fikiran saya juga bila kahwin nanti, peminat lari,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya apakah memang benar dia ‘takut’ peminat lari, Ewal tidak menafikannya.

Kata penyanyi lagu Kembalikan Semula ini, memang betul sedikit-sebanyak dia bimbang juga kerana peminat turut memainkan peranan yang besar kepada artis.

“Saya memang fikirkan peminat kerana mereka memainkan peranan besar. Sebabnya, saya kena fikirkan juga kawan-kawan yang lain. Sudahlah saya masuk Kristal, ramai yang tak suka dengan komen-komen yang diberi.

“Lepas itu, saya terus nak kahwin pula dan mesti ada yang akan cakap, lantaklah nak kahwin, dah tak nak minat pun. Jadi, benda ini (peminat) sebenarnya main peranan walaupun kita nampak ia kecil. Tapi, saya rasa memang harus menjaga periuk nasi yang lain-lain juga,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaharu Kristal, Cukup Aku Saja, baru-baru ini.

Ewal berkata, walaupun peminat itu sebenarnya datang dan pergi serta berbalik juga kepada rezeki Tuhan, tetapi apa yang pasti wajar untuk dia mendahulukan segala urusan kerja bersama Kristal sehingga selesai sebelum berkahwin.

Terdahulu, Ewal dan Adda yang juga adik Rody Kristal bertunang pada 10 September tahun lalu.

Adda yang juga penyanyi adalah ibu tunggal kepada dua anak.

SUMBER: HARIAN METRO

Be the first to comment on "Ewal tangguh kahwin, nak fokus kerja dulu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*