SURAT | Amanah, DAP tak berminat pada dahan rapuh

Saya tertarik dengan pesanan Anwar Ibrahim kepada Amanah dan DAP supaya kedua-dua parti kekal di landasan perjuangan sebagaimana dalam berita yang telah disiarkan Malaysiakini pada 4 Julai 2020 lalu.

Menurut Anwar lagi, semangat yang ada di dalam Pakatan Harapan (PH) usah dirungkai sehingga parti dilihat seolah olah terdesak untuk bergantung kepada dahan rapuh yang kemudian akan menikam kita.

Kenyataan seperti ini seolah olah menggambarkan bahawa Amanah dan DAP sudah lari dari landasan perjuangan PH dan seterusnya dilihat terdesak sehingga kononnya terpaksa bergantung di dahan rapuh.

Dahan rapuh yang dimaksudkan itu mungkin ialah Dr Mahathir Mohamad yang kini menarik diri daripada pencalonan sebagai perdana menteri.

Sebenarnya Amanah dan DAP masih teguh berjalan di atas landasan perjuangan PH tanpa pernah sekalipun meminggirkan Anwar. 

Atas semangat setiakawan dan “serangkai keluarga” sebagaimana yang telah disebut beliau sendiri sebelum ini.

Buktinya jelas apabila Amanah dan DAP berterusan cuba membuat pelbagai ikhtiar dan eksplorasi politik dalam kerangka PH demi memastikan mandat rakyat dikembalikan.

Anwar memberi penjelasan mengenai mandat rakyat, iaitu mengembalikan negara ini ke arah negara yang demokratik.

Bertindak dan memerintah dengan adil serta saksama, dan memberi keselesaan kepada semua rakyat tanpa mengira status, agama, bangsa dan kaum.

Memang itulah landasan perjuangan PH selama ini, dan itulah yang sedang diperjuangkan oleh Amanah dan DAP.

Nama Anwar sentiasa dicadangkan

Dahan rapuh yang sebenarnya ialah Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, kerana kedua-dua ‘dahan’ berkenaan telahpun patah dan jatuh dari pohon PH yang masih utuh.

Ia diikuti pula puluhan ranting kering dalam kalangan pengikut mereka sehingga akhirnya PH kehilangan majoriti untuk terus membentuk kerajaan.

Inilah sepatutnya yang menjadi subjek utama kita dalam menghadapi pertikaian politik hari ini. Bukannya mencipta musuh baru dalam keadaan kita sendiri sudahpun kekurangan jumlah untuk mencapai majoriti membentuk kerajaan.

Amanah dan DAP masih selari dengan PKR sebagai serangkai keluarga PH untuk mengembalikan semula mandat rakyat yang telah dikhianati dahan-dahan rapuh sebelum ini.

Anwar tidak pernah dipinggirkan walaupun sekali dalam agenda mengembalikan mandat rakyat. Buktinya nama Anwar sentiasa dicadangkan sama ada sebagai perdana menteri.

Pada opsyen pertama, sebagai timbalan perdana menteri pada opsyen kedua, atau sebagai timbalan perdana menteri pada opsyen ketiga.

Inilah hakikat suatu perkara yang mesti difahami oleh seluruh pendukung PH.

Demi kepentingan negara, Amanah dan DAP sentiasa menjunjung teguh prinsip PH dan tidak pernah sesekali mengkhianatinya walaupun sebelum ini ditawarkan untuk menyertai kierajaan jika meninggalkan PH.

Pertemuan demi pertemuan di antara pimpinan utama Amanah dan DAP dengan Anwar – dan kemuncaknya keputusan sebulat suara untuk menamakan beliau sebagai calon perdana menteri PH.

Membuktikan bahawa Amanah dan DAP tidak pernah lari dari landasan perjuangan.

Amanah dan DAP juga tidak sesekali cuba bergantung di dahan yang rapuh iaitulah Muhyiddin atau Azmin, apatah lagi Hamzah Zainuddin.

Sumber:malaysiakini 

Be the first to comment on "SURAT | Amanah, DAP tak berminat pada dahan rapuh"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*