PKRC Serdang tutup secara rasmi Rabu

PUTRAJAYA: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang, akan ditutup secara rasmi pada Rabu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan pesakit terakhir yang dirawat di pusat kuarantin itu dibenarkan pulang, hari ini.

“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, telah menyaksikan proses pesakit terakhir discaj dari PKRC, hari ini.

“PKRC diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

“Ia mula beroperasi secara rasmi pada 16 April lalu dan menerima pesakit pertama pada 21 April,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, PKRC berjaya merawat 1,362 pesakit membabitkan bukan warganegara sebanyak 86 peratus, manakala baki 14 peratus adalah rakyat Malaysia.

Beliau berkata, operasi PKRC adalah hasil kolaborasi pelbagai agensi dengan diterajui oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia meliputi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia,

Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute serta MAEPS.

“Pihak KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan daripada semua agensi terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan operasi pusat ini,” katanya.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "PKRC Serdang tutup secara rasmi Rabu"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*