Jho Low tiada di sini, kata setiausaha keselamatan Macau

Pejabat pegawai tertinggi Sekretariat Keselamatan Macau menafikan dakwaan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bahawa ahli perniagaan dalam buruan LowTaek-Jho atau Jho Low bersembunyi di wilayah itu.

Pejabat Setiausaha Keselamatan Wong Sio Chak dalam satu kenyataan mengatakan bahawa polis tempatan “dengan jelas” memberitahu pihak berkuasa Malaysia melalui Pejabat Pusat Nasional Interpol China pada 2018 bahawa Jho Low tiada di Macau.

Wong dalam kenyataannya mengatakan bahawa polis Malaysia telah melanggar amalan kerjasama polis antarabangsa dengan “secara sepihak” melepaskan maklumat yang mendakwa Jho Low berada di Macau.

Dia juga mengatakan bahawa polis Malaysia tidak menghubungi rakan sejawat mereka di Macau sejak 2018.

Rabu lalu, Abdul Hamid memberitahu wartawan bahawa terdapat petunjuk Jho Low berada di Macau dan diketahui telah melakukan transaksi perniagaan semasa berada di sana.

“Dia dimaklumkan telah melakukan transaksi semasa di sana dan pihak berkuasa telah berusaha sebaik mungkin untuk menjejaknya dan membawa dia ke muka pengadilan,” kata Abdul Hamid seperti dipetik The Star.

Selasa lalu, bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan dalam perbicaraan kes rasuah SRC International dan kini berdepan 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta.

Mahkamah memutuskan bahawa Jho Low telah memainkan peranan penting dalam memindahkan dana RM42 juta dari SRC ke akaun Najib.

Sumber : malaysiakini 

Be the first to comment on "Jho Low tiada di sini, kata setiausaha keselamatan Macau"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*