Setakat TPM 1, sia-sia perjuangan 22 tahun Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Majlis Zikir dan Selawat Nuril Anwar di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri merupakan sebagai satu penghinaan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bukan sahaja kerana Ahli Parlimen Semporna itu ‘junior’ Anwar sejak 1998, malah perjuangannya selama 22 tahun untuk menjadi Perdana Menteri hanya sia-sia jika akhirnya beliau hanya diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM 1).

Justeru penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yakin Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak akan bersetuju dengan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak nampak Anwar akan bersetuju dengan pencalonan Shafie sebagai PM,  seolah-olah satu penghinaan kepada Anwar kerana Shafie jauh lebih junior dari beliau.

“Perjuangan Anwar selama 22 tahun ini akan sia-sia jika beliau bersetuju untuk menjadi TPM 1 di bawah Shafie, yang lebih rendah tarafnya daripada jawatan TPM yang disandang beliau pada 1998,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, pemilihan calon luar daripada komponen Pakatan Harapan juga perkara yang akan ditentang kerana pemilihan sepatutnya dalam kalangan Parti Amanah Negara (Amanah), sekiranya Dr Mahathir menggunakan alasan Anwar ditolak oleh pengundi Melayu atas sebab PKR parti pelbagai kaum.

“Lagi pula, Warisan bukanlah parti dalam Pakatan Harapan, sepatutnya calon kompromi perlu datang dari dalam PH,”kata Kamarul.

Kamarul turut menyuarakan keyakinannya bahawa langkah Dr Mahathir untuk meraih sokongan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menggunakan Shafie tidak akan berjaya kerana Gerakan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan bersekutu dengan DAP.

Apa yang jelas dan pasti ujarnya, Shafie hanyalah proksi Dr Mahathir untuk meneruskan dinasti keluarganya.

“PKR menolak pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir ada menyebut bahawa beliau akan mencari jalan lain untuk menjadi PM.

“Jadi beliau kini mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri, maka bolehlah disimpulkan bahawa Shafie hanyalah proksi kepada beliau.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dijadikan TPM 2, mengesahkab lagi tuduhan banyak pihak sebelum ini bahawa Dr Mahahthir kembali berpolitik bagi menjaga dinastinya,” beliau berkata.

Semalam Dr Mahathir mengesahkan beliau bersama Amanah, Warisan dan DAP mencalonkan Shafie sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Anwar sebagai TPM I manakala Mukhriz sebagai TPM kedua.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.

Namun DAP dan Amanah pula berkata, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat kedua-dua parti itu terlebih dahulu, kemudian hasil perbincangan perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diputuskan bersama.

Sumber :MalaysiaGazette

Be the first to comment on "Setakat TPM 1, sia-sia perjuangan 22 tahun Anwar"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*