Saya jumpa Tun M – Mohd Redzuan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengakui beliau menemui Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu mengesahkan pertemuan itu berlangsung kira-kira 45 minit di Yayasan Kepimpinan Perdana (YPK), Putrajaya sekitar jam 9 pagi.

Mohd Redzuan menjelaskan, walaupun sedang menjalani tempoh kuarantin, beliau mendapatkan kelulusan khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berjumpa Dr Mahathir.

Beliau turut menafikan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu ada kaitan dengan dakwaan kononnya beliau akan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Ya memang betul saya berjumpa Tun. Saya jumpa di YKP lebih kurang jam 9 pagi. Saya boleh berjumpa selepas mendapat pelepasan daripada MKN, sebab saya negatif (COVID-19).

“Pertemuan itu perjumpaan biasa. Ziarah sempena Aidilfitri. Kita kawan baik, kawan lama. Tidak ada bincang soal politik.

“Saya nasihat dan mengajak Tun supaya sama-sama bantu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘kawan-kawan’ untuk membina semula negara sebab kita sedang dilanda COVID-19. Nampak Tun positif dengan nasihat itu.

“Pertemuan itu juga bukan seperti dilaporkan media yang saya akan tinggalkan PN. Itu tidak betul. Itu semua fitnah orang yang ada kepentingan, yang nak burukkan saya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pengesahan Mohd Redzuan itu sekali gus menamatkan spekulasi kononnya beliau akan menyertai kem Dr Mahathir dan meninggalkan PN.

Semalam juga pejabat Mohd Redzuan menafikan yang menteri itu akan mengadakan sidang media khas, atas alasan masih menjalani tempoh kuarantin.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu menjalani proses kuarantin selepas menghadiri mesyuarat bersama Muhyididn yang turut disertai seorang pegawai dipercayai positif COVID-19, minggu lalu.

Semalam, beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat menemui Dr Mahathir di Petaling Jaya.

Antaranya bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Dr Maszlee Malik (bekas Menteri Pendidikan).

Mohd Redzuan dan Dr Shahruddin didakwa antara pemimpin kerajaan yang disebut-sebut akan menarik diri daripada menyokong PN.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan menegaskan, beliau tetap fokus dan akan bersama-sama Perdana Menteri untuk memastikan negara berjaya keluar daripada krisis ketika ini serta membina semula ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

“Perdana Menteri sudah menjalankan kerja baik dan sedang berusaha memperbaiki ekonomi negara.

“Kita juga kekal untuk melakukan perubahan, gunakan kaedah perundangan bagi memperbetulkan segala yang tidak betul. Itu semua keputusan Perdana Menteri. Kita perlu berdiri di belakang beliau,” katanya.

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "Saya jumpa Tun M – Mohd Redzuan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*