Angkut pasir sungai buat bata untuk bina rumah sendiri

PASIR PUTEH: Demi memenuhi impian memiliki kediaman sendiri, tiga beradik anak yatim sanggup berulang-alik mengangkut pasir dari anak sungai di Kampung Panggong di sini, sejak dua bulan lalu.

Mohd Hakim Hakimi Mohd Rusdi, 25, dan adiknya, Mohd Haizu Naimi, 21, terpaksa memikul pasir sungai yang terletak kira-kira 50 meter bagi menghasilkan bata untuk membina rumah di tapak kediaman asal arwah nenek mereka, Rakiah Daud.

Mohd Hakim berkata, mereka berniat mendirikan rumah kerana sebelum ini dia dan Haizu serta seorang lagi adik mereka, Nurin Amalin, 14, menumpang arwah nenek dan ibu saudara yang juga ibu tunggal bersama empat anaknya selepas kematian bapa mereka, Rusdi Hassan, pada tahun 2010.

Katanya, ibunya pula berkahwin lain dan mengikut suami baru, selain abang sulung, Mohd Hafiz, 27, pula berhijrah ke Kuala Lumpur mencari rezeki untuk mereka.

“Dulu tak apa sebab ada nenek. Bila nenek meninggal dunia, kami rasa tak elok nak tinggal bersama ibu saudara yang anak-anaknya pun makin membesar.

“Lagipun saya terfikir sampai bila nak menumpang orang. Bila arwah nenek bagi kami buat rumah atas tapak rumah pusakanya yang sudah ditinggal lama, jadi saya ambil keputusan nak buat rumah sendiri dengan bantuan adik dan kawan-kawan,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

Mohd Hakimi berkata, setiap kali mempunyai duit lebih, dia akan membeli simen dan mengaut pasir di sungai yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, sebagai anak yatim dan melakukan kerja kampung, dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membina rumah, selain usaha membuat permohonan bantuan rumah, namun tidak pernah mendapat jawapan.

“Syarat nak buat rumah pun bukan mudah, sebab itu saya dan adik cuba mana kami mampu dan mulakan sikit-sikit kerana kami perlukan rumah segera untuk kami berdikari,” katanya.

Tiga beradik yatim itu juga tidak beraya seperti insan lain kerana tiada sumber kewangan akibat tidak dapat bekerja, susulan PKP.

Sebelum ini, mereka bergantung pada pekerjaan kampung seperti mengambil upah membaja dan menebang pokok.

Ibu saudara mereka, Wan Norhasnida Wan Nordin, 33, mengakui impian membina rumah sudah lama diluahkan Mohd Hakimi.

Katanya, sebelum ini dia memelihara anak saudaranya dan empat anak berusia 15 hingga enam tahun di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tanah milik saudara mara mereka.

“Lepas mak meninggal akibat kencing manis dan jangkitan kuman, Hakimi sering memberitahu mahu rumah sendiri, dia sanggup buat sikit-sikit di tapak asal rumah mak dan saya berharap ada pihak bantu mereka capai impian nak ada rumah sendiri,” katanya

Sumber:BHOnline 

Be the first to comment on "Angkut pasir sungai buat bata untuk bina rumah sendiri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*