Tak tahu status Azlee Khairi

Hubungan mesra Zara dan Azlee menimbulkan teka teki apabila ada yang mendakwa mereka kembali bercinta selepas digandingkan dalam drama Seadanya Aku terbitan Country Universal Sdn Bhd, siaran TV3, baru-baru ini.

Sebelum ini, Zara dan Azlee pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta ketika dipertemukan menerusi drama Love You Mr Arrogant pada 2013. Lebih menimbul persoalan, Zara putus tunang dengan pelakon, Hafreez Adam ketika sedang menjalani penggambaran drama berkenaan, manakala Azlee pula terus berteka-teki status perkahwinannya.

Spekulasi terus tercetus apabila Zara memuat naik foto dengan kapsyen: “Kalau diberi pilihan, apa yang awak nak sangat dalam hidup awak?’ pada Februari lalu.

Entri itu kemudian mendapat perhatian apabila Azlee meninggalkan komen ‘nak hidup dengan awak di luar lokasi’. Komen balasan Zara pula menyebut ‘demam’ gara-gara kenyataan dibuat menyerlahkan kemesraan mereka. Kenyataan Azlee menimbulkan kekecohan dalam kalangan peminat hingga hampir 65,000 tanda ‘like’ dengan lebih 1,700 komen dilihat pada entri berkenaan.

Tanpa berselindung, Zara berkata, dia kurang pasti status perkahwinan terkini Azlee kerana bersikap profesional dan tidak campur tangan urusan peribadi temannya itu.

Justeru, kata Zara, dia memohon bertanya sendiri kepada tuan badan sekiranya mahu mengetahui statusnya.

“Saya tak tahu status Azlee. Saya tak pernah tanya suami orang atau berpisah. Saya akui, hubungan kami agak rapat ketika menjalani penggambaran drama Seadanya Aku, maklumlah setiap hari berjumpa.

“Bagaimanapun, soal peribadi, saya tidak ambil tahu. Azlee pula ada hak untuk tidak berkongsi.

“Disebabkan itu, saya memilih berhati-hati kerana tak mahu ada terasa hati jika saya berbalas komen berlebihan dengan Azlee dalam IG. Saya tidak membalas semua komennya, ada yang dibiarkan sahaja,” katanya kepada BH Online.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia tidak tahu niat Azlee meninggalkan komen ‘sweet’ dalam IG. Fikirnya, mungkin ia sebahagian strategi mempromosikan drama Seadanya Aku arahan Feroz Kader.

“Saya pun tertanya niatnya, tetapi saya yakin Azlee sekadar mempromosikan drama yang sedang ditayangkan ketika itu. Jika nak tahu lebih lanjut tanya Azlee kenapa berbuat demikian. Adakah sengaja bagi ‘hint’ pada saya atau peminat, itupun saya tak pasti,” katanya.

Biarpun kelihatan rapat dan mesra, Zara menjelaskan, hubungan tidak lebih sekadar kawan, meskipun pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta kira-kira tujuh tahun lalu.

“Kami sudah lama saling mengenali. Walaupun rapat dan mesra, ia tidak bermakna apa-apa. Hubungan juga tidak terbawa-bawa di luar lokasi penggambaran.

“Saya dan Azlee langsung tidak berhubung, jauh sekali keluar berduaan selepas penggambaran drama Seadanya Aku selesai. Kami sibuk dengan tuntutan kerjaya masing-masing.

“Saya jenis tak suka membuang masa di luar. Saya terus pulang ke rumah bermain dengan kucing atau menonton televisyen selepas selesai penggambaran,” katanya

Apa Pendapat Anda?Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Berita Viral

Be the first to comment on "Tak tahu status Azlee Khairi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*