Dr Zulkifili Sahkan Sajjad Dilahirkan dan Didaftarkan Sebagai Lelaki

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengesahkan usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat didapati dilahirkan dan didaftarkan sebagai lelaki.

Maklumat itu diperolehi hasil pertemuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelmarin.

Zulkifli berkata, berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

“ Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki,”

Beliau turut menjelaskan bahawa PMWP tidak pernah terbabit dalam pengesahan identiti Nur Sajat yang diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2018.

Katanya, pengesahan jantina membabitkan pakar perubatan dan ia berada di bawah urusan Jakim.

“ Hanya atas dasar amanah dan tanggungjawab maka, PMWP mengambil inisiatif bertemu JPN semalam (kelmarin) bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Nur Sajat bagi membuktikan beliau adalah wanita.

“ Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1, pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, agensi pengelola umrah yang menguruskan ibadah umrah ahli perniagaan itu wajib bertanggungjawab ke atas isu yang berlaku.

Beliau berkata, pihak berkenaan sepatutnya memelihara dan membimbing jemaah supaya mengikut hukum syarak serta undang-undang setempat.

“ Mereka juga perlu sentiasa memberi panduan serta peringatan kepada jemaah agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.

“ (Jadi dalam isu ini) agensi wajib bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, perbuatan mengenakan pakaian bukan mengikut jantina asal tetap haram dan dikira berdosa, walaupun mematuhi rukun umrah.

Malah, katanya, usahawan itu boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah dan masalah itu disebut oleh fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H menerusi kertas kerja bertajuk Khunsa dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji juga menyimpulkan bahawa bagi mukhannas (transgender) semula jadi atau yang disengajakan supaya mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“ Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Shah Alam, mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.

Dia dituduh memiliki untuk tujuan jualan 11 produk yang bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM 25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber berkata, malangnya Sajjad tidak hadir semasa pengurusan kes berkenaan pagi tadi.

“ Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Sajjad kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.

“ Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Nor Aini Suzila Zakariah dari Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,” katanya.

Difahamkan pihak CPF sebelum ini melakukan pemeriksaan di premis milik ahli perniagaan itu di Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos lalu.

Pihak CPF turut bertindak mengambil keterangan dari beberapa pekerja di premis itu termasuk Sajjad selaku pengarah syarikat berkenaan.

Pemeriksaan dilakukan pegawai CPF di premis itu kemudian menemui produk disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM sebelum tindakan rampasan dilakukan.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment on "Dr Zulkifili Sahkan Sajjad Dilahirkan dan Didaftarkan Sebagai Lelaki"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*