Tidur Di Kaki Lima, Kanak Kanak Dedah Bapa Tidak Benarkan Pulang Selagi Tak Habis Jual Minyak Wangi

Seorang lelaki membuat perkongsian di Facebook berkaitan kisah seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui tertidur di kaki lima berhampiran sebuah kedai serbaneka..

Mengimbas kembali peristiwa itu, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, dia sebelum itu mengunjungi kedai serbaneka berdekatan dengan lokasi hotel dia menginap untuk membeli bateri tetikus (mouse) komputer ribanya.

” Minggu lalu saya hadiri kursus dan menginap di sebuah hotel berhampiran Chow Kit. Pada malam Sabtu lalu kira-kira pukul 11.45 malam, saya keluar ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk membeli bateri ‘mouse’ komputer riba.

” Sebaik sampai saya dah perasan kelibat budak berkenaan. Selesai membeli, saya pun pulang. Tapi separuh jalan, saya tak sedap hati lalu berpatah balik dan masuk kedai itu semula dan bertanyakan perihal budak itu kepada juruwang bertugas.

” Menurutnya, budak itu memang selalu tidur di hadapan kedai itu dan tinggal tak jauh dari situ. Saya pun keluar, kejutkan budak itu kerana mahu memberi sedikit wang. Tapi dia menolak kerana katanya dia bukan peminta sedekah.

” Katanya, kalau mahu tolong, belilah minyak wangi yang dijualnya. Saya pun beli sekotak minyak wangi dan menghulur juga sedikit wang belanja untuknya,” cerita Ahmad.

Menurut pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuantan, Pahang itu, tindakannya membuat posting mengenai kisah budak lelaki berkenaan di media sosial bertujuan supaya mana-mana pihak boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk menghulurkan bantuan.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen pula terdapat individu yang mendakwa ibu kanak-kanak itu sudah bercerai dengan suaminya dan dia tidak dibenarkan pulang ke rumah oleh bapanya selagi tidak dapat menghabiskan minyak wangi yang dijualnya.

Minyak wangi yang dibeli Ahmad daripada kanak-kanak lelaki berkenaan.

” Saya ada tiga pilihan saja malam itu. Pertama, tengok dan biarkan saja. Kedua, melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan. Ketiga, upload kisah itu di media sosial.

” Pilihan tindakan pertama, saya rasa paling tidak berperasaan. Pilihan kedua, saya tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan waktu itu sudah jam 12 tengah malam. Dan keesokan harinya pula adalah hari Ahad.

” Maka pilihan ketiga yang saya ambil dengan harapan semoga akan tampil insan-insan berhati mulia. Langsung tiada niat untuk aiibkan mana-mana pihak,” ujar pensyarah berusia 47 tahun ini.

Menurutnya, selepas membuat perkongsian di media sosial, terdapat ramai individu yang menghubunginya menerusi mesej di Facebook.

” Ada dua individu yang berusaha mencari budak lelaki berkenaan dan akhirnya dapat menemui budak itu bersama bapanya. Mereka menceritakan kembali kepada saya hasil daripada pertemuan tersebut.

” Dua individu ini bukan daripada mana-mana NGO sebaliknya hanya masyarakat awam yang prihatin. Menurut mereka, budak itu berusia 12 tahun dan tidak berpeluang ke sekolah kerana masalah kewangan. Disebabkan itu dia terpaksa menolong bapanya menjual minyak wangi.

” Hasil perbincangan bersama bapa budak tersebut, dia akhirnya bersetuju untuk memasukkan anaknya ke sebuah sekolah tahfiz. Cuma sekarang, jika confirm dia masuk ke sekolah tahfiz itu, apa yang perlu diusahakan adalah untuk dapatkan sponsor bagi membayar yuran bulanan,” katanya.

Bukan itu sahaja, menurut Ahmad, tidak kurang daripada 15 individu menghantar mesej kepadanya dan meluahkan hasrat untuk mengambil budak tersebut sebagai anak angkat serta mahu membiayai pendidikannya.

” Alhamdulillah, sungguhpun mendapat kecaman berikutan posting itu, tetapi lebih ramai yang memberikan maklum balas positif. Yang kecam tu, mereka salahkan saya seolah-olah saya membuka aib keluarga kanak-kanak itu.

” Saya tak balas komen-komen negatif itu, kerana saya bukan nak glamour ataupun cari publisiti. Tapi mungkin setiap tindakan kita, ada terselit perkara negatif tanpa kita sedar. Tapi bagi saya, saya hanya serahkan kepada Allah kerana yakin apa yang dilakukan itu dilakukan dengan niat yang ikhlas,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Ahmad menerusi ruangan komen memaklumkan bahawa kes kanak-kanak lelaki tersebut kini berada di bahawa perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : mstar

Be the first to comment on "Tidur Di Kaki Lima, Kanak Kanak Dedah Bapa Tidak Benarkan Pulang Selagi Tak Habis Jual Minyak Wangi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*