Ernie kurang selesa dibandingkan dengan Aina Abdul

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri, kurang selesa apabila ada peminat mula membandingkan dirinya dengan Aina Abdul apabila kedua-duanya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34.

Dua vokalis hebat terbabit antara 12 artis yang bakal bersaing di pentas berprestij itu, bulan depan, dengan masing-masing mempertaruhkan lagu berjudul Ku Bersuara dan Sumpah.

 

Ernie dan Aina juga dikatakan antara penyanyi yang mampu membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada 9 Februari depan, di samping Hafiz Suip yang menyanyikan lagu Kisah Cinta Kita.

“Saya tidak kisah pun dengan cabaran yang bakal dihadapi pada AJL nanti. Apatah lagi, saya sudah biasa dengan episod kalah menang dalam pertandingan.

“Saya juga percaya, tiada salahnya andai peminat membuat ramalan masing-masing. Cuma, saya kurang senang apabila ada sesetengah pihak yang seakan-akan cuba membandingkan saya dengan Aina. Secara peribadi, kami mempunyai hubungan baik dan tiada masalah antara saya dengannya.

“Bagi saya, perbandingan sebegitu adalah kurang sihat, terutama apabila peminat saling kutuk-mengutuk antara mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media anugerah berkenan, di sini.

Katanya, perbalahan dalam kalangan peminat membuatkan artis yang bertanding berasa kurang selesa.

“Bagaimanapun, saya tidak tertekan dengan situasi itu. Saya cuma berharap peminat dapat menerima perbezaan seseorang artis supaya industri seni dapat berkembang lebih maju,” Kata Ernie, 28.

Mengenai pertandingan bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, pemenang Vokal Terbaik bersama Syamel pada AJL32 menerusi lagu Aku Cinta ini berkata, dia berusaha memberikan persembahan paling baik sepanjang kerjaya berikutan ia penampilan solo pertamanya pada acara terbabit.

Menurutnya lagi, sehingga kini 50 peratus persediaan sudah dilakukan, namun enggan berkongsi secara terperinci mengenai perkara itu.

“Kami takkan terlalu banyak menukar susunan muziknya kerana karya ciptaan Omar K, Syamel, John Jeevasingham dan Blaine Bakri itu sudah bagus.

“Cuma, kami akan ubah sedikit mengikut mesej yang ingin disampaikan pada malam itu nanti. Apa yang berani saya katakan, takkan ada unsur lakonan di atas pentas, tetapi penonton akan faham mesej ingin disampaikan.

“Kita juga tidak memasukkan banyak elemen kejutan dalam persembahan. Apa pun, saya perlu berlatih dengan bersungguh-sungguh kerana bimbang apa yang bakal dipersembahkan tidak menjadi pada malam pertandingan nanti,” katanya.

Ernie turut memberitahu, dia tidak mengamalkan sebarang petua bagi menjaga vokal sempena pertandingan terbabit, sebaliknya memperbanyakkan aktiviti senaman demi meningkatkan stamina dan mengawal pemakanan untuk menurunkan berat badan.

“Dahulu, saya tidak suka bersenam, jadi saya menghadapi kesukaran untuk menyanyi. Mungkin juga ia disebabkan faktor usia yang semakin bertambah. Namun, sejak mengamalkan senaman, saya dapat rasakan perubahan, malah tenaga juga kian bertambah ketika menyanyi.

“Saya juga kini fokus untuk menurunkan sedikit berat badan. Selain untuk kelihatan menarik, saya juga ingin tampil sihat.

“Sekembali daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini, berat badan saya bertambah. Jadi, saya perlu kurangkan beberapa kilogram supaya tak mengah sewaktu menyanyi. Lebih daripada itu, saya memang tiada petua lain untuk menghadapi AJL34. Malah, saya masih minum minuman berais seperti biasa,” katanya.

Sumber: BH ONLINE 

Be the first to comment on "Ernie kurang selesa dibandingkan dengan Aina Abdul"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*