Sudah dua bulan bawa Grab Food

PELAKON Lan Siro yang sudah lapan bulan tidak mendapat tawaran berlakon berkongsi kini menjadi penunggang Grab Food di sekitar Lembah Klang.

Lan atau nama sebenarnya Azlan Mokhtar yang juga pelakon filem Malay Regiment berkata, dia turut menjadi jurulatih peribadi selain berniaga di bazar Ramadan Putrajaya sepanjang Ramadan lalu.

Katanya, sejak Oktober tahun lalu dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Disebabkan itu, dia membuat apa saja jenis pekerjaan demi kelangsungan hidup di ibu kota.

“Sebelum bawa Grab Food sejak dua bulan lalu, saya menjadi jurulatih peribadi kepada Izara Aishah, Mimi Lana dan beberapa pelakon lain serta menjual makanan kesihatan. Malah, sepanjang Ramadan saya berniaga di Bazar Ramadan Putrajaya bersama pelakon, Afzan Rahman.

>

“Saya tak malu untuk berkongsi perkara ini di laman sosial kerana berasakan orang lain pun buat. Kalau tidak bekerja, saya dan keluarga nak makan apa?

“Nak mencari pekerjaan lain, saya bukannya ada kelulusan tinggi. Jadi, saya gunakan kemahiran yang ada untuk mencari duit. Alhamdulillah rezeki akan sentiasa ada,” katanya.

Lan yang sering berlakon di bawah produksi A Aida Production Sdn Bhd tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi.

LAN menjadi jurulatih peribadi kepada Izara.

“Saya tidak mahu salahkan syarikat produksi. Mungkin sebab atas permintaan stesen televisyen yang inginkan pelakon muda dan baru. Atau juga tidak ada watak yang sesuai dengan saya.

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya mendapat tawaran berlakon drama 13 episod, Perempuan Tepi Jalan terbitan A Aida Production.

“Bagi saya, menjadi anak seni kena kental. Kalau dilanda kesusahan dan kurang tawaran berlakon, diri sendiri kena menjadi kreatif,” katanya.

Lan berkata, seperkara yang dia belajar adalah apabila susah dia menjadi kreatif dengan membuat perkara lain untuk dijadikan sumber pendapatan seperti berniaga dan sebagainya.

Dalam masa sama, Lan yang membaca kisah pelakon Reza Hasbi sengkek hingga terfikir mahu meminta zakat kerana tiada tawaran berlakon mengakui memahami situasi dilalui pelakon itu.

“Dua bulan lalu, agak pelik juga apabila lapan syarikat produksi yang menghantar nama saya ke stesen televisyen, satu pun tak lekat. Apa pun, saya tetap bersangka baik yang mana mungkin mereka ada pilihan pelakon lain.

“Ini bukan kali pertama saya tak ada tawaran berlakon. Pada 2013 saya pernah tak berlakon selama 10 bulan. Tapi, saya belajar buat benda lain. Alhamdulillah, saya masih berada dalam industri dan boleh bertahan,” katanya.

Be the first to comment on "Sudah dua bulan bawa Grab Food"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*