Saya Izinkan Suami Jadi Mekanik – Azza Elite

Selepas enam tahun mengusahakan perniagaan bersama-sama, pelakon dan penyanyi, Azza Zawari, memaklumkan suaminya, Azlan Zulaily, kini bekerja sendiri sebagai mekanik.

Mendirikan rumah tangga dengan lelaki berkenaan sejak 2012, anggota kumpulan Elite itu berkata, dia bersikap terbuka dengan keputusan dibuat pasangannya.

“Saya pula masih meneruskan kerja sebagai hos sambilan untuk program jualan atas talian, selain menjayakan segmen parodi bagi sebuah rancangan hiburan. Di samping itu, saya berniaga sendiri dengan menjual bedak sejuk, pakaian dan produk kecantikan.

“Selepas bersama-sama membangunkan perniagaan yang kami usahakan sendiri, saya memberikan keizinan untuk suami bekerja mengikut minatnya pula. Selama ini, dia banyak berkorban untuk kepentingan bersama. Apabila masing-masing bekerja, bolehlah kami menambah pendapatan sekeluarga.

“Pada masa sama, saya juga suri rumah yang menguruskan sendiri segala kerja di rumah, termasuk menjaga anak angkat kami, Muhammad Adam. Jadi, ketika awal-awal suami bekerja dahulu, situasi memang kelam kabut. Namun, ia menjadi proses pembelajaran terbaik untuk saya,” kata Azza.

Kata Azza lagi, melakukan kerja rumah juga adalah ibadat.

“Mudahnya untuk kita memungut pahala di rumah. Dengan niat yang betul, membuat kerja rumah itu menjadi amalan mulia yang tidak berbanding nilainya.

“Masa adalah emas, justeru saya perlu memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Saya memang perlu melipatgandakan usaha untuk masa depan lebih baik,” katanya yang tidak ketinggalan membuat ulasan perniagaan di Instagram.

Sumber : Berita Harian

Be the first to comment on "Saya Izinkan Suami Jadi Mekanik – Azza Elite"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*