Achey.Black akrab semula

KUALA LUMPUR: Nilai persahabatan Black Hanifah dan Achey pernah diuji apabila ada ‘mulut puaka’ cuba memecahbelahkan hubungan kekeluargaan mereka hingga terpisah hampir setahun.

Namun, mendung duka dalam hidup dua sahabat baik ini berarak pergi, kira-kira dua bulan lalu apabila mereka akhirnya bersemuka dan meluahkan segala yang terbuku di hati.

Achey, 32, berkata persengketaan berlaku akibat perbuatan manusia yang tidak menyenangi persahabatan mereka.

“Saya sayang Black dan keluarganya seperti darah daging sendiri. Bagaimanapun, ada yang tidak menyenangi keakraban kami dan mula mereka-reka cerita serta menabur fitnah.

“Black terjerat dengan fitnah dan saya pula tidak cuba menjelaskannya. Bukan tidak mahu bersemuka, tetapi Black sedang marah, jadi tiada guna saya menemuinya. Kerana terlalu sayangkan persahabatan kami, saya ambil keputusan mendiamkan diri,” katanya.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, percaya berjauhan memberikan mereka ruang untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki kekurangan dalam persahabatan.

Hampir setahun perselisihan mereka berlarutan, Black dan keluarganya akhirnya datang ke rumah Achey untuk menjernihkan keadaan.

“Black tertanya-tanya, kenapa saya tidak menjelaskan kebenaran? Apabila berjauhan, kami mengenang semula memori indah bersama.

“Kami suka bercuti dan percutian pada bulan puasa di Pulau Langkawi sudah menjadi rutin setiap tahun. Alhamdulillah, kami dapat bercuti di Langkawi, baru-baru ini. Hanya Tuhan yang tahu keseronokannya,” katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Achey berkata, dia dan isteri, Nor Hasanah Yahaya meraikan Syawal di Segamat, seterusnya ke kediaman keluarga mentuanya Labis, Johor.

KELUARGA Achey dan Black juga rapat antara satu sama lain. Foto NSTP

Sementara itu, Black, 30, pula menyifatkan segala yang berlaku adalah berpunca daripada kekhilafannya yang tidak mempercayai sahabat sendiri.

“Bohong jika saya tidak sedih. Apabila berjumpa ketika mengadakan persembahan mahupun di padang bola, masing-masing buat hal sendiri. Saya rasa bersalah dengan Achey.

“Kenapa saya tidak mempercayai sahabat baik sendiri, sebaliknya mendengar cakap orang lain? Berulang kali saya mohon kemaafan daripada Achey dan isterinya. Saya kesal membelakangkan mereka dan menjauhkan diri,” katanya.

Black berkata, mereka tidak pernah bergaduh, sebaliknya masing-masing membawa diri angkara fitnah yang tidak masuk akal.

“Fitnah membuatkan kami tidak percaya antara satu sama lain. Saya kesal kerana sebelum ini, kami berkongsi segala-galanya. Apapun, saya bersyukur hubungan kami sudah pulih seperti dahulu,” katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, Black berkata, dia dan isteri, Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira meraikan Syawal di kediaman baharu keluarganya dan mentua.

“Sepatutnya, tahun ini giliran beraya di kediaman keluarga Cira di Pulau Pinang, tetapi ibu bapa saya pula meraikan Syawal berdua apabila adik-beradik lain tidak dapat pulang.

“Jadi, kami ambil keputusan beraya di kediaman ibu bapa saya dahulu. Pada raya ketiga, kami pulang ke Pulau Pinang. Saya bercuti selama dua minggu.

“Syawal ini juga amat bermakna dengan kehadiran anak kedua, Rindu Dayyana, yang kini berusia tujuh bulan,” katanya yang memilih warna merah jambu sebagai tema, sempena kehadiran si puteri.

Be the first to comment on "Achey.Black akrab semula"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*