Abam hampir terlupa beli baju raya kerana teruja nak jadi bapa

Teruja membuat persiapan bagi menyambut kelahiran cahaya mata sulung, pelawak terkenal, Abam, 30, hampir terlupa membeli baju raya.

Menurut Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, sambutan lebaran tahun ini sememangnya lebih tertumpu pada persiapan menantikan kehadiran ‘orang baharu’ dalam kehidupannya dan isteri, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 28, tidak lama lagi.

“Tahun ini, keutamaan adalah lebih kepada membuat persiapan bagi menyambut kelahiran bayi sehingga hampir terlupa hendak membeli baju raya untuk diri sendiri. Apatah lagi, isteri dijangka melahirkan anak pertama kami dalam masa terdekat.

“Semestinya saya teruja hendak menyandang gelaran bapa buat julung kali. Syukur kerana segala persiapan sudah dilakukan dengan sebaik-baiknya. Kini, tiada apa yang saya harapkan selain segala-galanya berjalan lancar pada hari anak kami dilahirkan nanti.

“Kami juga beruntung kerana keluarga tidak jauh daripada saya dan isteri. Namun, saya tidak harus memandang enteng kerana perlu bersama isteri menanti hari yang ditunggu-tunggu itu,”

Mengulas keterujaan menghitung hari untuk menjadi bapa, Abam berkata, dia belum mengetahui jantina zuriat dalam kandungan kerana mahukan kejutan.

“Menurut emak saya yang juga bekas bi dan, kami mungkin menimang bayi lelaki kerana isteri seperti malas bersiap dan sebagainya. Ada beberapa lagi tanda lain yang menunjukkan saya berkemungkinan menimang seorang putera.

“Apapun, perkara paling penting adalah kesihatan isteri dan juga anak yang bakal dilahirkan nanti. Lelaki atau perempuan, saya menerima rezeki kurniaan Allah dengan hati terbuka,” kata pelawak itu.

Abam mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya itu pada 8 Disember 2017.

Be the first to comment on "Abam hampir terlupa beli baju raya kerana teruja nak jadi bapa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*