BIMB Kaut untung lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Kumpulan perkhidmatan kewangan Islam utama di Malaysia, BIMB Holdings Bhd (BHB) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) lebih tinggi kepada RM319.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

Bagi suku dikaji, PBZT BHB melonjak 16.8 peratus berbanding RM273.6 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Ia diraih menerusi pendapatan lebih baik yang dicatatkan kumpulan berkenaan yang berjumlah RM1.18 bilion, berbanding RM999.4 juta yang diraih pada suku pertama tahun lalu.

BHB dalam satu kenyataan berkata, bagi tempoh dikaji, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham menokok 17.7 peratus atau RM30.4 juta kepada RM202.5 juta.

“Prestasi kukuh diterjemahkan kepada keuntungan tahunan Pulangan atas Ekuiti (ROE) selepas cukai sebanyak 16.1 peratus, antara yang tertinggi dalam industri,” katanya.

Perolehan sesaham juga meningkat kepada 11.63 sen daripada 10.26 sen dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Berdasarkan portfolio, perbankan Islam menerusi Bank Islam Group (Bank Islam) meraih PBZT sebanyak RM219.9 juta, meningkat 6.1 peratus atau RM12.7 juta.

“Pendapatan berasaskan dana kasar meningkat 12.5 peratus disokong pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun dalam aset kewangan bersih yang mencecah RM46.1 bilion setakat 31 Mac 2019,” katanya.

Sementara itu, pendapatan bukan dana juga mencatatkan peningkatan 37.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dari segi pendanaan, deposit pelanggan dan akaun pelaburan, masing-masing berada pada RM47.5 bilion dan RM6.4 bilion.

“Untuk selebihnya bagi 2019, bank akan terus memberi tumpuan kepada pelan strategik tiga tahun bagi memperoleh prestasi mampan berterusan berdasarkan prinsip Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI),” katanya.

Bagi perniagaan takaful, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd Group (Takaful Malaysia) mencatatkan PBZT lebih tinggi kepada RM113.3 juta, meningkat 33.5 peratus daripada RM84.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

BHB berkata, keuntungan yang lebih tinggi diraih menerusi pendapatan yuran Wakalah bersih lebih tinggi yang dihasilkan daripada pertumbuhan dalam perniagaan Takaful Keluarga.

“Pendapatan operasi Takaful Malaysia melonjak 23.1 peratus kepada RM918.2 juta bagi tempoh dikaji berbanding tahun sebelumnya, dipacu jualan lebih tinggi daripada perniagaan Takaful Keluarga yang merekodkan sumbangan perolehan kasar RM502.9 juta.

“Sumbangan perolehan kasar Takaful Am meningkat kepada RM204.2 juta, melonjak 12 peratus di mana pertumbuhan ini disumbangkan oleh insurans kebakaran.

“Meskipun sentimen perniagaan kekal berhati-hati pada tahun ini, industri takaful dijangka mengatasi insurans konvensional dipacu permintaan kukuh bagi produk takaful,” katanya.

Sumber:Bh

Be the first to comment on "BIMB Kaut untung lebih tinggi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*