Baru Dua Hari Sultan Ahmad Shah Mangkat, Bekas Pekerja Turap Jalan Ini Dedah Sifat Sebenar Almarhum

Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Muadzam Shah merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat di Pahang.

Pemergian sultan berjiwa rakyat turut dirasai seorang lelaki yang berkongsi kenangannya bersama Almarhum semasa bekerja sebagai penurap jalan 15 tahun lalu.

Muhammad Abdul Razak, 42, berkata, ketika itu, dia baru berusia 27 tahun dan bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan jalan dan antara tugasnya adalah menurap jalan termasuk ‘menampal jalan berlubang’.

Semasa bertugas di Pekan, Pahang berikutan laporan jalan rosak, dia bersama rakan-rakan sekerja meletakkan kon, papan tanda termasuk ‘pengawal’ jalan raya sebagai prosedur operasi standar (SOP) sebelum kerja-kerja menurap di lorong kanan jalan.

Namun belum sempat memulakan kerja, katanya, mereka didatangi kereta dan motosikal peronda polis yang meminta mengalihkan kon, papan tanda dan kelengkapan lain untuk memberi laluan kepada Sultan Ahmad Shah ketika itu.

“ Aku cakap mana boleh alih sebab kerja dah mula, jalan yang rosak tu pun kami dah tebuk untuk ganti dengan tar jalan yang baru. Polis cakap tak apa, kalau macam tu kami diminta untuk berhenti buat kerja dan pergi ke tepi jalan dan menyambung semula selepas baginda lalu.

“ Masa baginda nak lalu tu rasa biasa saja. Tapi masa baginda berhenti kereta tu rasa berdebar, teruja, gembira sebab akhirnya dapat bersemuka buat pertama kali dengan baginda,” katanya kepada mStar.

Lebih mesra dengan panggilan Cupot, dia terkejut kereta hitam dengan plat kuning itu dipandu sendiri Almarhum, ditemani seseorang dipercayai pengawal peribadi.

Lebih mengejutkan apabila Almarhum hanya memakai serba ringkas, mungkin ketika itu bukan untuk urusan rasmi.

“ Almarhum Sultan pakai simple je. Pakai kemeja-T warna putih krim. Pengawal peribadi pula memakai kot dan cermin mata hitam.

“ Bila Almarhum buka tingkap kereta, Almarhum senyum. Muka baginda memang nampak garang tapi hakikatnya seorang yang merendah diri,” katanya.

Cupot yang berasal dari Kuantan memberitahu, dengan hati yang berdebar dan teruja dia menghulurkan salam kepada Almarhum.

“ Almarhum Sultan membalas salam dan sambut tangan aku dengan lembut. Aku cium tangan baginda,” katanya.

Dia masih mengingati kata-kata Almarhum ketika itu yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila “Aok buat mende ramai-ramai tengoh jalan main panas ni?”

Mewakili rakan-rakan sekerja dia memberitahu mereka sedang membuat kerja-kerja penyelenggaraan jalan, sebelum dibalas dengan senyuman manis baginda.

“ Almarhum senyum lagi kata “terima kasih kat aok seme buat keje tengoh jalan tengoh panas ni untuk keselesaan dan kegunaan orang ramai termasuklah kawan’,” katanya yang terkedu dengan titah Almarhum itu.

Kerana layanan mesra kepada mereka, kata Cupot, maka tidak hairanlah Almarhum Sultan Ahmad Shah disenangi dan disayangi rakyat Pahang.

“ Saya bertanya lagi ‘Tuanku nok gi mane?’ dan Almarhum Sultan jawab ‘kawan nak gi Kuantan, saje meronda. Aok seme buat keje molek-molek. Bahaya keje tengoh jalan ni’ dan kemudian menghulurkan wang RM100 ‘Aok ambek duit ni buat belanja makan minum dengan geng aok, kawan nok gi doh ni’.

“ Masa tu saya rasa malu, segan dan sangat terkejut. Dah tentu saya dan kawan-kawan saya ucap terima kasih dan bersalaman cium tangan Almarhum,” kata bapa dua anak itu.

Cupot yang kini berkhidmat sebagai penjawat awam menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah begitu dirasainya dan pertemuan ringkas menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.

“ Pertemuan bersama Almarhum tak lama, kira-kira 3 minit macam tu je. Almarhum Sultan Ahmad Shah disifatkan sebagai seorang sultan yang baik hati dan tidak sombong apabila bersama rakyat tanpa mengira darjat dan pangkat.

“ Salam takziah buat semua kerabat diraja dan rakyat Pahang Darul Makmur tanah bertuah. Semoga Almarhum tenang di sana dan ditempatkan bersama kekasih Allah,” katanya.

Sumber: mstar via AsiaKini / Catatan Terakhir

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! SK

Be the first to comment on "Baru Dua Hari Sultan Ahmad Shah Mangkat, Bekas Pekerja Turap Jalan Ini Dedah Sifat Sebenar Almarhum"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*